“You Touch, You Go.”
Itulah amaran tegas yang sekali lagi ditekankan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor didapati terbabit dalam kes buli baru-baru ini.
Empat daripada mereka dibuang sekolah, manakala dua lagi digantung sekolah sementara menunggu siasatan polis.

Tindakan pantas itu mendapat perhatian ramai, namun persoalan yang sama tetap timbul setiap kali kes buli berlaku iaitu mengapa budaya buli masih terus berlaku dalam kalangan pelajar?
Lebih menyedihkan, mangsa dalam kes tersebut dilaporkan mengambil keputusan meninggalkan sekolah kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan akibat dibuli oleh pelajar senior.
Bagi sesetengah pihak, buli mungkin sekadar usikan atau gurauan biasa. Namun, selepas pembuli dikenakan tindakan, satu persoalan yang lebih besar timbul.
Bagaimana pula dengan mangsa?
Hukuman terhadap pembuli mungkin boleh menamatkan sesuatu kes, tetapi kesannya terhadap mangsa tidak semestinya berakhir di situ.

Menurut data Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 2889 kes buli direkodkan sepanjang tahun 2025.
Walaupun jumlah itu menurun berbanding 7681 kes pada tahun sebelumnya, angka tersebut tetap membuktikan bahawa gejala buli masih belum selesai.
Di sebalik setiap angka itu ada seorang mangsa yang pernah menangis sendirian, hilang keyakinan diri atau takut untuk melangkah masuk ke kawasan sekolah.
Ada yang memilih untuk berdiam diri kerana takut dibalas, manakala ada juga yang akhirnya memilih untuk berhenti sekolah demi menjaga kesihatan mental sendiri.
Lebih membimbangkan, tidak semua mangsa berani tampil membuat laporan. Masih ramai yang menganggap buli sebagai perkara biasa atau percaya masalah itu akan selesai dengan sendirinya.
Hakikatnya, kesan buli jauh lebih mendalam daripada kecederaan fizikal semata-mata.
Mangsa buli berisiko mengalami kemurungan dan kebimbangan manakala ada juga yang hilang keyakinan diri, malah memilih untuk mengasingkan diri daripada orang lain.
Pakar kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Amin Al Haadi Shafie berkata, budaya buli masih berlaku kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap tingkah laku ini masih belum benar-benar kukuh.
Menurut beliau, kempen semata-mata tidak mencukupi jika masyarakat tidak dididik daripada aspek pengetahuan, sikap dan kepercayaan terhadap isu buli.
Jelasnya, budaya buli sering bermula sejak kecil melalui persekitaran dan didikan awal, termasuk dalam keluarga.
Tingkah laku agresif yang dianggap normal akhirnya dibawa ke sekolah dan masyarakat.
Dr Amin turut menegaskan bahawa kekurangan empati menjadi antara faktor utama budaya buli terus berlaku.
“Kalau tiada empati, seseorang tidak akan berfikir tentang kesan perbuatannya kepada orang lain malah cuma rasa puas bila tengok orang lain terseksa,” katanya.
Tambah beliau, buli bukan sekadar isu disiplin, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental mangsa jika tidak ditangani dengan baik.
Katanya, usaha membanteras budaya buli tidak seharusnya tertumpu kepada hukuman terhadap pembuli semata-mata.
Sebaliknya, pemulihan mangsa juga perlu diberikan perhatian melalui pendekatan kaunseling dan psikologi.
Bagi membantu mangsa, beliau turut membangunkan satu modul intervensi yang memberi fokus kepada kesedaran, keyakinan diri, komunikasi dan ketahanan diri.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam program Rakan Prihatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi penekanan kepada sokongan awal komuniti dalam menangani isu sosial, termasuk buli.
Langkah ini menunjukkan bahawa usaha menangani budaya buli bukan sekadar menghukum pembuli, malah membantu mangsa membina semula keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan.

Pandangan itu selari dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan oleh KPM bagi membanteras budaya buli di sekolah.
Dalam masa yang sama, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh KPM bagi menangani gejala buli seperti pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama, serta penambahan guru kaunseling dan warden.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun sejauh mana keberkesanannya jika sikap pelajar dan masyarakat masih tidak berubah?
Ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak. Rakan-rakan sebaya pula tidak boleh hanya menjadi pemerhati apabila melihat kejadian buli berlaku. Masyarakat juga perlu berhenti menganggap buli sebagai perkara biasa.
Sebagai seorang mahasiswa, saya melihat isu buli sering menjadi topik hangat di media sosial. Namun, perhatian itu biasanya hanya bertahan untuk beberapa hari sebelum masyarakat beralih kepada isu yang lain.
Bagi mangsa pula, kesannya mungkin kekal sepanjang hayat.
Kejayaan sebenar bukanlah apabila pembuli dibuang sekolah semata-mata, sebaliknya apabila tiada lagi pelajar yang takut untuk hadir ke sekolah.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk membina impian, mencari ilmu dan mencipta kenangan indah bersama rakan-rakan.
Bukannya tempat di mana seorang pelajar pulang ke rumah dengan senyuman yang dipaksa sedangkan hatinya sedang menyimpan luka yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















