RUU Majlis Media Malaysia bukti komitmen kerajaan perkukuh landskap media negara
SEJARAH tercipta dalam industri media Malaysia apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024.
Ia menandakan berakhirnya penantian selama 50 tahun untuk penubuhan badan kawal selia kendiri yang menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
RUU ini mendapat sokongan majoriti selepas perbahasan oleh 18 Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
Editor Astro AWANI, Saharudin Musthafa berkata, RUU Majlis Media Malaysia merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan landskap media negara.

“Paling utama, Majlis Media Malaysia akan berfungsi sebagai badan kawal selia yang bebas dan bertanggungjawab untuk memastikan kebebasan media terpelihara selain mengekalkan etika kewartawanan yang tinggi.
“Apa yang harus diberi penekanan juga ialah RUU ini digubal dengan telus dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wartawan, pengamal media dan masyarakat sivil bagi memastikan ia tidak disalah guna, apa lagi untuk menyekat kebebasan bersuara atau mengawal naratif media secara keterlaluan,” kata Saharudin ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Selain itu, beliau memberitahu, perincian mengenai kuasa, peranan dan fungsi Majlis Media Malaysia perlu dijelaskan dengan tegas dalam rang undang-undang tersebut agar tidak wujud ruang untuk salah guna kuasa.
“Pengamal media tentu sekali mahu melihat RUU ini kelak berfungsi sebagai badan pemantau yang adil dan seimbang serta mampu melindungi hak wartawan dan memastikan akses kepada maklumat yang tepat dan bebas,” tegas beliau.
Sementara itu, RUU Majlis Media Malaysia 2024 ini turut mendapat sokongan penuh organisasi masyarakat sivil.

Dalam satu kenyataan bersama, 10 agensi dan pertubuhan media yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media, menyokong perkara itu yang disifatkan sebagai langkah penting dalam mewujudkan ekosistem yang bebas, bertanggungjawab dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Kami berharap kejayaan legislatif ini dapat melindungi kebebasan media, menegakkan integriti kewartawanan dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media di Malaysia.
“Di samping itu, ia mampu memperkukuh kebebasan bersuara dalam suasana media yang berdepan cabaran seperti penapisan kendiri, penyebaran maklumat palsu serta laporan tidak beretika yang didorong oleh unsur perkauman dan fanatisme,” kata kenyataan tersebut.
Tambah mereka, kebajikan pekerja media perlu diberi keutamaan dalam peranan Majlis Media Malaysia.
“Industri media tempatan kini menghadapi cabaran ekonomi yang menyebabkan pembuangan pekerja, kelewatan pembayaran gaji serta persekitaran kerja yang tidak stabil.
“Oleh itu, majlis ini harus memastikan syarikat media bertanggungjawab terhadap amalan buruh yang adil dan melindungi hak pekerja bagi menjamin industri media yang lestari dan beretika,” tegas kenyataan itu lagi.
Tidak ketinggalan, mereka menyeru kerajaan untuk memperkukuh Majlis Media Malaysia dengan sumber yang mencukupi dan serentak melaksanakan reformasi undang-undang berkaitan media.
“Ia termasuklah pemansuhan undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Hasutan 1948.
“Tanpa reformasi perundangan yang menyeluruh, Majlis Media Malaysia berisiko menjadi hanya sebuah institusi simbolik tanpa keberkesanan sebenar,” katanya.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkongsi, kelulusan RUU Majlis Media Malaysia menamatkan satu penantian dan perjalanan yang panjang.

“Bayangkan usaha mewujudkan Majlis Media Malaysia sebenarnya telah digagaskan sejak lebih 50 tahun lalu, tetapi sering menemui jalan buntu.
“Akhirnya pada tahun 2018, satu jawatankuasa sementara dinamakan pro tem Majlis Media diwujudkan untuk menggerakkan usaha ini.
“Saya sendiri hanya menyertai jawatankuasa ini pada tahun 2022 dan memang dapat melihat usaha keras baik di pihak pro tem diketuai Premesh Chandaran dan Kementerian Komunikasi untuk memastikan RUU Majlis Media Malaysia dibentang dan diluluskan,” jelas Zamri.
Sebagai pengamal media, Zamri juga berharap Majlis Media Malaysia akan dapat menetap, mengawal dan mengawasi sendiri amalan dan pelaporan media di negara ini.
“Malah, pada zaman industri media berdepan cabaran besar survival, majlis ini juga wajar memainkan peranan dalam isu pendanaan media, kebajikan serta latihan wartawan.
“Tahniah diucapkan kepada Kementerian Komunikasi, jawatankuasa pro tem, para editor dan NGO-NGO media yang berusaha keras dalam memastikan RUU bersejarah ini berjaya diluluskan,” ujarnya.
Apa yang pasti, kelulusan RUU Majlis Media Malaysia 2024 oleh Dewan Rakyat merupakan titik tolak penting dalam sejarah media negara.
Dengan penubuhannya, diharapkan industri media Malaysia akan terus berkembang maju, berpegang teguh kepada prinsip kebebasan, integriti dan profesionalisme serta mampu menghadapi cabaran dunia kewartawanan moden dengan lebih yakin dan berdaya saing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








