Jawatankuasa khas ditubuhkan tangani jenayah penipuan dalam talian
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi memperkukuh usaha menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam di seluruh negara.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui pada 18 Jun lalu hasil satu sesi pemukiman yang membincangkan isu peningkatan kes penipuan dalam talian.
Menurut beliau, mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi serta jabatan berkaitan.
“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, malah buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform digital termasuk media sosial akan turut dilibatkan,” katanya pada sidang media di Angkasapuri hari ini.
Fahmi berkata, pendekatan merentas agensi itu bertujuan memperkukuh aspek penguatkuasaan, perundangan dan siasatan bagi memastikan rakyat lebih selamat ketika menggunakan platform digital.
Menurutnya, kerajaan juga menjangkakan beberapa perkembangan positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat hasil pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk mengenal pasti isu berkaitan serta memperkemas penguatkuasaan, perundangan dan siasatan supaya rakyat Malaysia lebih selamat menggunakan platform digital,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak dapat memperincikan semua strategi yang dibincangkan bagi mengelakkan ia diketahui pihak tidak bertanggungjawab.
“Ya, kita jangka dalam masa tidak terlalu lama, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tidak boleh jelaskan secara terbuka kerana mungkin akan diketahui pihak scammer,” katanya lagi.
Beliau berkata pendekatan rentas agensi itu pernah digunakan sebelum ini dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.
“Penubuhan jawatankuasa itu dijangka membolehkan tindakan lebih tegas, pantas dan menyeluruh diambil terhadap sindiket penipuan dalam talian,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















