GAYA HIDUPRENCANA

Kandungan negatif: MCMC turunkan 289,287 kandungan berbahaya sepanjang 2024

DUNIA digital yang banyak membantu memudahkan kehidupan moden masa kini bukan sekadar platform untuk komunikasi dan hiburan, tetapi menjadi medan ekploitasi jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Pelbagai ancaman seperti judi dalam talian, penipuan scam, kecurian data dan kandungan berbahaya yang mengelirukan masyarakat berleluasa di alam maya.

Dalam usaha mengekang masalah ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah drastik menurunkan ribuan kandungan negatif bagi memastikan keselamatan pengguna.

Platform media sosial masa kini menjadi medan eksploitasi jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Statistik yang dikeluarkan MCMC bagi 2024 menunjukkan sebanyak 289,287 kandungan berbahaya telah diturunkan.

Ia termasuklah 189,484 kandungan judi dalam talian yang mewakili 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kandungan diturunkan MCMC, diikuti 63,652 berkaitan penipuan (22 peratus), 17,245 kandungan palsu (5.9 peratus) dan 13,805 kandungan jelik (4.7 peratus).

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ibrahim Sultan, Ts. Rafiuddin Rohani berkata, tindakan tegas MCMC itu adalah langkah terbaik dalam membanteras isu yang boleh mendatangkan mudarat besar kepada masyarakat.

Rafiuddin Rohani

“Melihat kepada peratusan tertinggi melibatkan judi, ia adalah tindakan yang proaktif dan terbaik.

“Seperti semua tahu, judi adalah sesuatu yang lebih mendatangkan mudarat berbanding manfaat,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, penurunan kandungan berkaitan penipuan atau scam juga merupakan satu inisiatif penting bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Dengan perkembangan teknologi, taktik penipuan menjadi semakin canggih dan sukar dikesan.

“Justeru, ia menjadikan usaha MCMC sebagai langkah pencegahan awal yang wajar dipuji,” ujarnya.

Pelbagai kandungan yang dimuatnaik di media sosial memerlukan tapisan yang sewajarnya.

Bagaimanapun jelas Rafiuddin, masih terdapat lambakan kandungan dengan unsur tidak bermoral yang tersebar luas di pelbagai media sosial terutamanya Telegram, X dan Instagram meskipun telah banyak yang diturunkan.

Perkara ini diakui Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyatakan kandungan judi dan scam masih tinggi walaupun kerajaan telah bekerjasama dengan platform-platform berkenaan.

Sebagai info, Malaysia telah mencatatkan rekod sebagai negara tertinggi di Asia dengan jumlah mangsa berulang dalam jenayah penipuan dalam talian.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling memberitahu, kajian Asia Scam Report 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance mendapati bahawa individu di Malaysia berulang kali menjadi mangsa scam dan mempunyai kemampuan rendah untuk membezakan jenayah penipuan yang melibatkan kecerdasan buatan (AI).

“Seiring perkembangan teknologi, modus operandi penipuan juga semakin canggih dan pelbagai. Antaranya termasuklah kecurian data peribadi, skim cepat kaya atau Multi-Level Marketing (MLM) yang menipu serta penyalahgunaan bantuan khas.

Seiring peningkatan teknologi, modus operandi penjenayah siber juga semakin canggih dan bersifat pelbagai.

“Apa yang menyedihkan, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan terpelajar dan mempunyai kelayakan akademik tertentu.

“Maka, isu ini akan terus menjadi cabaran besar yang perlu ditangani pihak berkuasa sebaiknya,” kata Rafiuddin lagi.

Menurut beliau, walaupun globalisasi memberi banyak manfaat kepada dunia moden, namun tanpa kawalan yang holistik, ia boleh menjadi virus yang membiak sehingga ke akar umbi.

“Oleh itu, usaha pengawalan dan pemantauan kandungan digital tidak boleh terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya perlu diperkasakan dengan polisi yang lebih ketat dan sistem keselamatan siber yang lebih berkesan.

Hati-hati memuat naik sesuatu hantaran di platform media sosial agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Semua pihak termasuk kerajaan, penyedia perkhidmatan internet dan pengguna sendiri perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan dunia digital bebas daripada unsur negatif yang boleh merosakkan kesejahteraan masyarakat.

“Setiap daripada kita bertanggungjawab menggunakan media sosial dengan sebaiknya. Jika ternampak kandungan yang mencurigakan dan tidak bermoral, terus laporkan kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Satu yang pasti, bahawa langkah penurunan kandungan negatif oleh MCMC bukan sahaja membantu mengurangkan risiko jenayah siber tetapi juga memastikan ruang digital yang lebih selamat dan sihat untuk masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button