14 keluarga mangsa kebakaran Pantai Dalam dipindahkan ke rumah transit – Fahmi
KUALA LUMPUR – Seramai 14 keluarga mangsa kebakaran di Pantai Dalam yang kehilangan tempat tinggal akan dipindahkan ke rumah transit dengan kelulusan segera kerajaan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dilakukan hasil kerjasama beberapa agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pejabat parlimennya bagi memastikan kebajikan mangsa terjejas diberi perhatian segera.
“Saya dimaklumkan setiap keluarga perlu membayar RM400, tetapi saya telah meminta mereka tidak perlu bayar. Saya sendiri akan tanggung bayaran itu supaya mereka boleh segera berpindah.
“Mereka diberi tempoh enam bulan untuk menetap di rumah transit sebelum membina semula kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Budaya@Komuniti Pantai Dalam, di sini hari ini.
Fahmi turut memaklumkan TNB menyumbangkan bantuan sebanyak RM20,000 kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.
Dalam kejadian pada 8 Ogos lalu, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai berhampiran Stesen Komuter Pantai Dalam musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11 malam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), insiden itu memusnahkan hampir 80 peratus kawasan perumahan seluas 0.074 hektar serta premis kedai melibatkan keluasan 0.223 hektar termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








