Stesen minyak hampir musnah terbakar di Baling
BALING – Sebuah stesen minyak di Kampung Bandar, Mukim Siong di sini hampir musnah sepenuhnya selepas terbakar dalam kejadian awal malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus bahagian tempat mengisi minyak dan lima peratus pada bumbung bangunan utama.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.52 malam sebelum bergegas ke lokasi sejauh 14 kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian sekitar jam 9.07 malam, anggota mendapati kebakaran berlaku pada salah satu pam minyak.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Lalang Siong dan PBS Belia 4B,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkhairi berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.13 malam dan operasi diteruskan bagi memastikan tiada nyalaan semula berlaku.
“Kejadian disedari oleh pekerja stesen minyak berkenaan apabila pam petrol di bahagian hadapan, menghadap jalan utama, tiba-tiba terbakar.
“Difahamkan, ketika kejadian stesen masih beroperasi dan api mula marak sejurus selepas sebuah kenderaan selesai mengisi minyak serta beredar dari lokasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















