Litar pintas punca kebakaran korbankan lima sekeluarga
KUANTAN – Insiden kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Raub 26 Februari lalu berpunca daripada litar pintas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mendapati, sistem pendawaian yang tidak teratur di dalam rumah berkenaan menyebabkan berlakunya litar pintas.
“Berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh JBPM Pahang terhadap kes-kes kebakaran struktur tahun ini, sebanyak 15 daripada 35 kes keseluruhan berpunca daripada faktor elektrikal iaitu sekitar 43 peratus.
“Ini diikuti tujuh kes berpunca daripada peralatan gas iaitu 20 peratus, serta enam kes berpunca daripada api berbara iaitu sekitar 17 peratus manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena dengan Siap Siaga Raya Tahun 2026 di Padang MBK 1 di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin juga berkata atas titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihaknya akan menyumbangkan sebuah Rumah Rakyat Pahang kepada waris mangsa yang terselamat, yang dijangka siap pada tahun ini.
Beliau berkata pihaknya bercadang memastikan setiap rumah mampu milik di Pahang dilengkapi alat pemadam api bagi meningkatkan tahap keselamatan penghuni memandangkan penggunaannya amat penting terutama apabila melibatkan elektrik atau gas yang tidak boleh dipadam dengan air kerana boleh memburukkan keadaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








