CAAM larang terbangkan dron di kawasan kebakaran paip gas
SUBANG JAYA – Orang ramai diminta tidak menerbangkan dron di kawasan berlakunya insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, demikian arahan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
CAAM berkata, larangan itu adalah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini di lokasi kejadian memandangan ia terletak di laluan kritikal penerbangan.
Tegas CAAM, ia juga adalah bagi memastikan aspek keselamatan orang ramai dan pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pemantauan udara di lokasi kejadian terjamin.
“Justeru, larangan ini adalah penting bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan pesawat yang sedang beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan memaklumkan setakat ini, seramai 112 mangsa cedera dan 49 rumah terjejas akibat kebakaran itu.
Beliau berkata, 112 mangsa itu melibatkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Kuala Sungai Baharu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihak Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas yang terletak di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru bagi melepaskan saki baki gas asli bermula 8.46 pagi tadi.
Dalam kenyataan sama, CAAM turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda.
Ia tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








