HAWANA 2026 angkat tema media berintegriti, perkasa kredibiliti
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun depan bakal mengangkat tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti dalam usaha memperkasa peranan pengamal media dalam pembangunan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, majlis kemuncak sambutan tahunan itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PICCA @ Arena Butterworth.
Menurut beliau, pemilihan tema berkenaan yang turut membawa maksud Media Integrity Strengthens Credibility adalah selari dengan usaha kerajaan memastikan kualiti penyampaian maklumat serta kepercayaan rakyat terhadap institusi media terus diperkukuh.
“Tema ini mencerminkan komitmen untuk memperkasa etika kewartawanan dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan media sebagai penyampai maklumat yang sahih dan berwibawa,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini hari ini.
Fahmi berkata, logo rasmi HAWANA 2026 menampilkan elemen ikonik Jambatan Pulau Pinang sebagai simbol identiti negeri tuan rumah yang kaya dengan sejarah, warisan dan kemodenan.
“Secara keseluruhan, logo ini menggambarkan aspirasi HAWANA sebagai wadah penyatuan utama buat warga media dan masyarakat dalam menyokong pembangunan negara yang inklusif serta mampan,” katanya lagi.
Sambutan HAWANA merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








