BERITA SEMASA

KPDN, JHEAIPP serbu kilang rempah ratus tanpa sijil halal

BUKIT MERTAJAM – Sebuah kilang memproses rempah ratus didapati beroperasi tanpa sijil halal yang sah sejak lapan tahun lalu dalam serbuan pihak berkuasa di Permatang Tinggi, di sini.

Kegagalan memperbaharui sijil halal itu dipercayai kerana beroperasi di premis yang turut menjual peralatan sembahyang.

Serbuan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), baru-baru ini.

Pengarah KPDN negeri S.Jegan berkata, sijil halal kilang tersebut telah tamat pada 31 Mac 2016 setelah memperoleh sijil halal pada tahun 2012.

“Penyalahgunaan logo dan sijil halal ini menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengelirukan pengguna, terutamanya pelanggan beragama Islam,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini.

Katanya dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa merampas 2,498 paket rempah yang mengandungi logo halal, dengan anggaran nilai RM12,490.

Jegan berkata, pemilik kilang tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi individu. Bagi pertuduhan perbadanan, denda boleh mencapai RM250,000.

“Peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal atau sijil halal tanpa perakuan yang sah daripada Jakim, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button