BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Edisi Siasat, Edisi Khas dikenakan tindakan kerana langgar Akta 588 – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan undang-undang sivil yang diambil terhadap platform Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas adalah susulan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, satu perintah sementara telah dikeluarkan oleh mahkamah yang membawa kepada penurunan kandungan berkaitan serta penutupan dua saluran tersebut.

“Pada masa ini, tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) yang meminta jaminan kerajaan bahawa tindakan terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak menjejaskan kebebasan bersuara, khususnya kandungan berkaitan isu ketelusan dan antirasuah.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan kerajaan menjunjung prinsip kebebasan bersuara namun dalam masa yang sama, semua pihak termasuk pengguna dan penyedia platform perlu mematuhi undang-undang negara.

“Rakyat secara umumnya bebas memaparkan kandungan di mana-mana saluran media sosial, termasuk yang menyentuh isu ketelusan dan antirasuah, selagi mana kandungan itu serta pemaparannya tidak melanggar undang-undang.

“Platform media sosial juga perlu bertanggungjawab memastikan kandungan yang dipaparkan di laman mereka tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan kekal komited memastikan ruang digital negara sentiasa selamat, beretika dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tindakan terhadap saluran Telegram terbabit mendapat perhatian selepas kandungan yang dipaparkan didakwa bersifat fitnah, mengelirukan dan menyentuh isu keselamatan serta integriti institusi tertentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button