25 das tembakan dilapor berhampiran White House, kawalan ketat dilaksanakan
WASHINGTON – Kawalan keselamatan di sekitar White House diperketatkan pada Sabtu malam selepas insiden tembakan dilaporkan berlaku berhampiran kawasan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku ketika Trump berada di White House bagi menghadiri rundingan berkaitan perjanjian dengan Iran, sekali gus mencetuskan respons segera daripada pasukan keselamatan termasuk Perkhidmatan Rahsia dan Polis Washington.
Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel memaklumkan agensi itu sedang membantu siasatan dan operasi keselamatan di lokasi kejadian.
“FBI berada di lokasi dan membantu respons Perkhidmatan Rahsia terhadap insiden tembakan berhampiran kawasan White House,” katanya dalam satu hantaran dii platform X hari ini.
Saksi kejadian yang berada berhampiran lokasi memaklumkan terdengar antara 20 hingga 25 das tembakan yang pada awalnya disangka bunyi bunga api, sebelum orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Beberapa wartawan yang berada di kawasan North Lawn White House turut diarahkan berlindung di bilik taklimat media, manakala liputan langsung terganggu susulan arahan keselamatan.
Wartawan ABC News, Selina Wang berkata, beliau sempat merakam bunyi tembakan sebelum terpaksa menjatuhkan diri ke tanah untuk berlindung.
“Ia kedengaran seperti puluhan das tembakan,” katanya lagi.
Setakat ini, pihak United States Secret Service memaklumkan siasatan masih dijalankan dan maklumat lanjut sedang dikumpulkan.
Insiden turut mencetuskan kebimbangan keselamatan memandangkan Trump sebelum ini pernah menjadi sasaran beberapa cubaan pembunuhan, termasuk insiden terbaharu pada April lalu.
Pihak berkuasa kini memperketat kawalan di sekitar Washington bagi memastikan keadaan kembali terkawal dan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








