BERITA SEMASAPOLITIK

Jangan jadi lebih Hamas daripada Hamas – Timbalan Menteri Luar tegur Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN) supaya tidak bertindak ‘lebih Hamas daripada Hamas’ selepas mendesak kerajaan membatalkan undangan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.

Mohamad berkata, kenyataan Wan Fayhsal yang menentang kehadiran Trump tidak selari dengan perkembangan semasa apabila Hamas sendiri menyambut pelan 20 perkara yang dikemukakan Trump untuk menghentikan konflik di Gaza.

“Hamas menyambut baik rancangan yang diberikan oleh Trump. Jadi kenapa kita tidak membantu dan menyokong pendirian itu? Jangan kita jadi lebih Hamas daripada Hamas.

“Kita mahu bantu, kita mahu sokong agar perdamaian di Palestin dapat dicapai,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mohamad menegaskan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini mempunyai tanggungjawab diplomatik untuk menjemput semua rakan dialog termasuk AS ke sidang kemuncak berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan pendirian tegas Malaysia mengenai isu Gaza terus kepada Trump secara bersemuka.

“Kita akan gunakan ruang itu untuk suarakan pendirian kita berhubung Gaza. Malaysia tetap konsisten menyokong perjuangan Palestin,” jelasnya.

Terdahulu, Wan Fayhsal ketika berbahas mendesak kerajaan menarik balik undangan kepada Trump dengan alasan sejarah membuktikan tiada presiden AS mampu menghentikan keganasan Israel di Gaza.

“Trump orang yang membenarkan genosid berlaku di Gaza. Apa sebab kita sanggup kompromi atas alasan sebagai pengerusi ASEAN untuk benarkan penjenayah jejak kaki ke tanah air?

“Nak nasihat apa lagi kepada orang macam ini, macam curah air ke daun keladi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button