FBI buru suspek tembak mati Charlie Kirk, tawar ganjaran RM460,000
OREM – Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melancarkan operasi memburu seorang lelaki yang dipercayai menembak mati tokoh konservatif Amerika Syarikat, Charlie Kirk, 31, ketika beliau sedang berucap di Universiti Utah Valley semalam.
Kirk, yang terkenal sebagai suara lantang konservatif Republikan dan antara figura penting dalam usaha mengembalikan Donald Trump ke Rumah Putih tahun lalu, maut dalam serangan yang disifatkan FBI sebagai terancang.
Ejen Khas FBI, Robert Bohls berkata, suspek dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30-an melarikan diri ke kawasan hutan selepas melepaskan tembakan.
Menurut beliau, pihak berkuasa mempunyai rakaman video jelas mengenai individu terbabit namun identitinya masih belum didedahkan kepada umum.
Bagi mempercepatkan siasatan, FBI menawarkan ganjaran sehingga AS$100,000 (RM460,000) kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan suspek.
Setakat ini, gambar seorang lelaki berbaju panjang bercorak bendera Amerika, bertopi hitam dan bercermin mata gelap telah diedarkan sebagai ‘individu berkepentingan’.
Dalam perkembangan lain, pasukan penyiasat turut menemui senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu iaitu senapang bolt-action berkuasa tinggi yang ditinggalkan di kawasan hutan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








