Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan untuk bebankan guru – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, guru tidak perlu bimbang bahawa mereka akan memikul keseluruhan tanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu terhadap murid susulan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Beliau berkata, polisi itu sebaliknya menetapkan peranan dan tindakan yang perlu diambil oleh setiap pihak apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan serta kesejahteraan murid.
“Adakah segala-galanya akan menjadi tanggungjawab guru? Tidak.
“Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan untuk meletakkan seluruh beban menjaga keselamatan murid di bahu guru.
“Sebaliknya, polisi ini mewujudkan kerangka yang lebih jelas tentang siapa perlu melakukan apa apabila timbul kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan seorang murid,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, tanggungjawab melindungi murid membabitkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kepimpinan sekolah, guru dan kakitangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa serta pihak berkaitan.
Menurutnya, guru sebagai barisan hadapan perlu bertindak apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah mengenai keselamatan seseorang murid, tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai bukti lengkap.
“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor.
“Selepas itu, kes perlu diselaraskan, tindakan ditentukan mengikut jenis dan tahap kes serta dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, tatacara berkenaan penting bagi memastikan guru memahami tindakan yang perlu diambil, selain mengelakkan murid mengalami trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.
Fadhlina mengakui masih terdapat guru yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai polisi berkenaan, termasuk berkaitan batas tanggungjawab dan tindakan yang perlu diambil apabila berdepan sesuatu kes.
“Sebab itu saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas.
“Ini tidak bermakna polisi ini dibentuk tanpa perbincangan,” katanya.
Menurut beliau, KPM sebelum ini telah mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh termasuk JPN, PPD, NUTP, MPSM, SUHAKAM, UNICEF, ARUS Academy, Buku Jalanan Chow Kit serta beberapa NGO lain.
Katanya, sesi penerangan seterusnya akan bermula malam ini dan rakamannya akan dimuat naik untuk rujukan guru.
Dalam pada itu, Fadhlina memberi jaminan bahawa guru tidak akan dibiarkan bersendirian ketika melaksanakan tanggungjawab melindungi murid, termasuk dari aspek bantuan guaman.
“KPM sentiasa peka dan bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan kes.
“Kita mahu anak-anak selamat. Kita juga mahu guru jelas, yakin dan tahu bahawa ada sistem yang berdiri bersama mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, polisi itu bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan apabila berlaku sesuatu kejadian, apatah lagi menjadikan guru sebagai kambing hitam.
“Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian.
“Jangan bimbang. Polisi ini bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan apabila sesuatu berlaku. Apatah lagi untuk menjadikan guru sebagai kambing hitam.
“Kita ingin lindungi murid, kita ingin lindungi guru, kita ingin kita ekosistem sekolah yang selamat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








