EXCO negeri ditahan SPRM didakwa esok
PUTRAJAYA – EXCO kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kedudukan beberapa tahun lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu, esok.
Menuut sumber, SPRM sudah mendapatkan keizinan daripada pendakwa raya untuk mendakwa pemimpin politik berkenaan.
Difahamkan, individu berkenaan akan didakwa pukul 9 pagi esok.
Laporan media semalam menyebut, SPRM Terengganu menahan seorang individu dipercayai EXCO kerajaan negeri kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman dan siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan terbabit pada 2018 dan 2020.
Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai EXCO dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








