POLITIK

BERSAMA umum bertanding 15 kerusi pada PRN Melaka

KUALA LUMPUR – Parti BERSAMA mengumumkan akan bertanding di 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus menjadi parti pertama mengumumkan calon dan kawasan yang bakal ditandingi.

Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata jentera parti perlu memulakan gerak kerja serta-merta selepas senarai calon diumumkan.

“Kempen kita bermula malam ini dan buatlah kerja,” katanya ketika menghadiri majlis pengumuman calon PRN Melaka di Melaka Baru, malam tadi.

Beliau berkata, pengumuman itu dibuat walaupun tarikh pembubaran DUN Melaka belum ditetapkan.

“Malam ini, bermula di Melaka, BERSAMA jadi parti yang pertama, saya ingat dalam sejarah Malaysia, mengumumkan calon-calon dan juga kerusi-kerusi yang kita bertanding.

“Ini dilakukan sebelum Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terfikir nak bubarkan DUN,” katanya.

15 kerusi yang diumumkan BERSAMA ialah Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, Serkam dan Bemban.

Antara yang menjadi tumpuan adalah kerusi Bemban apabila BERSAMA mencalonkan Dr Muhamad Solehin Saleh, yang juga abang kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Rafizi berkata, jentera BERSAMA perlu bergerak segera bagi memastikan mesej dan tawaran parti dapat disampaikan kepada pengundi di semua kawasan yang ditandingi.

Pengumuman itu menjadikan BERSAMA parti terawal memperkenalkan calon serta kawasan yang bakal ditandinginya menjelang PRN Melaka yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button