Rafizi ingatkan perwakilan pilih pemimpin selesaikan isu rakyat, bukan kejar jawatan
SEREMBAN – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyeru para perwakilan parti agar membuat pilihan bijak dalam pemilihan kepimpinan akan datang dengan memilih pemimpin yang mampu menyelesaikan isu-isu utama rakyat seperti ekonomi dan rasuah.
Menurut beliau, pemilihan kali ini amat penting dalam memperkukuh kedudukan PKR menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, terutama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Jangan kejar jawatan dan kuasa semata-mata. Ada amanah yang perlu ditunaikan kepada parti dan rakyat, apatah lagi kita hanya ada kira-kira dua tahun lagi sebelum PRU,” katanya ketika berucap dalam siri Jelajah Hiruk di Melaka dan Negeri Sembilan malam tadi.

Rafizi turut berkata, PKR masih mempunyai kelebihan berbanding parti lain dalam menangani isu ekonomi, walaupun berdepan sentimen negatif daripada sebahagian rakyat.
“Kalau tanya rakyat, walaupun mungkin ada yang tidak suka kita, bila ditanya parti mana yang boleh urus ekonomi, kita masih di hadapan,” katanya lagi.
Rafizi kini giat mengadakan sesi libat urus bersama akar umbi bagi menjelaskan perancangannya, sambil mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti 23 Mei ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui selepas kemenangan PKR pada PRU15 tahun 2022, ramai yang mula menunjukkan minat menyertai parti dan merebut jawatan.
“Waktu kita susah dulu, tak ada siapa nak bersama. Itu hakikat yang dilalui oleh saya, Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun), dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Kami bersama sejak awal,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, terdapat segelintir kumpulan yang cuba menyingkirkan pemimpin lama demi memberi laluan kepada calon pilihan masing-masing.
“Kita masih ada jalan panjang. Pemilihan parti ini penting kerana kita tak boleh anggap akan kekal berkuasa selama-lamanya,” tambahnya lagi.
Turut hadir pada program tersebut ialah Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Rafizi dijadualkan berdepan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 23 Mei ini.
#HIRUK
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








