Rafizi sahkan terima surat tunjuk sebab kedua, pertahan teguran terhadap kepimpinan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah mengemukakan jawapan balas terhadap surat tunjuk sebab kedua yang dikeluarkan oleh PKR bertarikh 9 April lalu.
Dalam penjelasan bertulis kepada Lembaga Disiplin parti, Rafizi mempertahankan kenyataannya sebelum ini, termasuk teguran terhadap budaya “bodek” dalam kalangan kepimpinan parti, yang menurutnya bukan perkara baharu.
Beliau berkata, teguran tersebut telah lama disuarakan secara terbuka dalam pelbagai platform parti, termasuk ketika kongres, dan pernah diterima secara positif oleh presiden parti sebelum ini.
“Saya selalu menyebutnya secara berdepan dengan presiden parti dalam ucapan-ucapan saya di kongres parti sebelum ini. Rakaman-rakaman teguran saya mengenai budaya bodek yang menyubur di dalam parti ini berlegar meluas di media sosial.
“Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau
dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, juga disambut dengan tawaduk selepas beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Rafizi menafikan dakwaan bahawa beliau menganjurkan satu perhimpunan yang dikaitkan dengan kumpulan aktivis “Sekretariat Tangkap Azam Baki” sebaliknya menjelaskan hanya dijemput untuk berucap, sebagaimana amalan biasa dalam himpunan masyarakat sivil seperti perhimpunan Bersih sebelum ini.
Mengulas isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Rafizi menegaskan kritikan terhadap kepimpinan parti berhubung pelanjutan kontrak individu itu bukan berpunca daripada ucapannya, tetapi berdasarkan tindakan dan pendirian kepimpinan sendiri yang telah menjadi perhatian umum.
Beliau turut membangkitkan isu serangan peribadi terhadap dirinya oleh beberapa pimpinan parti di peringkat cabang, termasuk dakwaan penggunaan kata-kata kesat, serta menyifatkan tiada tindakan diambil oleh kepimpinan tertinggi untuk mengekang perkara tersebut.
Dalam penjelasan lanjut, Rafizi menyentuh beberapa dakwaan yang dilaporkan media antarabangsa melibatkan individu tertentu, termasuk Farhash Wafa Salvador dan Datuk R Ramanan, serta mempersoalkan ketiadaan tindakan undang-undang terhadap laporan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan yang tegas dan segera berhubung kes tersebut, termasuk mengambil tindakan pemecatan sekiranya penjelasannya didapati melanggar perlembagaan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








