Gagal mohon maaf, Caprice saman Rafizi
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Caprice, mengesahkan telah memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, selepas ahli Parlimen Pandan itu didakwa gagal memohon maaf serta menurunkan hantaran media sosial yang mengandungi tuduhan terhadapnya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil selepas dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari 2026 tidak mendapat maklum balas sewajarnya.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan peguamnya, Mohd Rezan Ezra, untuk memfailkan saman berkenaan pada 26 Februari lalu.
“Untuk makluman umum, saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli pada 26 Februari (Khamis).
“Saya juga dimaklumkan proses penyerahan saman dilakukan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pada 21 Februari, Caprice dilaporkan memberi tempoh sehingga pukul 5 petang hari sama kepada Rafizi untuk menurunkan semua hantaran media sosial dan membuat permohonan maaf secara terbuka atau berdepan tindakan undang-undang.
Tindakan itu susulan kenyataan Rafizi di laman sosialnya berhubung dakwaan Caprice mengenai kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion yang didakwa membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.
Mengulas lanjut, Caprice berkata, menerusi saman tersebut beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf secara terbuka serta perintah injunksi bagi menghalang Rafizi daripada terus mengeluarkan kenyataan sama.
Beliau berharap tindakan itu dapat membersihkan semula nama baiknya daripada dakwaan yang menurutnya menjejaskan reputasi dan kredibilitinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








