POLITIK

ARMADA persoal cuti Rafizi ketika negara hadapi cabaran ekonomi

KUALA LUMPUR – ARMADA BERSATU Malaysia hari ini mempersoalkan keputusan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan sedang bercuti selama sebulan sehingga 31 Mei, ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan pelaburan.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, cuti tersebut sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika negara sedang menangani kesan daripada kenaikan tarif import Amerika Syarikat sebanyak 24 peratus yang memberi kesan langsung kepada perdagangan Malaysia.

“Ketika rakyat menaruh harapan kepada Menteri Ekonomi untuk memacu semula pelaburan dan pertumbuhan industri negara, tindakan bercuti selama sebulan amat mengecewakan.

“Negara kini memerlukan kepimpinan yang bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut melahirkan kekhuatiran sama ada keputusan Rafizi itu ada kaitan dengan kekalahan beberapa pemimpin pro-Rafizi dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru selesai.

“ARMADA mengesyaki bahawa cuti ini berkait dengan keputusan pemilihan PKR di peringkat cabang.

“Jika benar, maka ia adalah satu bentuk protes politik yang tidak sepatutnya melibatkan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya lagi.

Harris turut menggesa Perdana Menteri supaya membatalkan kelulusan cuti tersebut dan mengembalikan Rafizi ke kementeriannya dengan segera demi menjamin kestabilan polisi ekonomi dan kelangsungan pentadbiran negara.

“Ini bukan masa untuk Menteri Ekonomi berehat.

“Rakyat sedang menunggu solusi dan tindakan pantas kerajaan dalam menangani tekanan ekonomi semasa,” katanya lagi.

Setakat ini, pejabat Menteri Ekonomi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tujuan cuti tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button