“Jangan sengaja tempah rumah tangga bermasalah” – Bonda Nor nasihat wanita elak kahwin suami orang
KUALA LUMPUR – Penulis motivasi terkenal, Bonda Nor menasihatkan golongan wanita supaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam hubungan dengan suami orang kerana kehidupan poligami bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, ia bukan satu kewajipan sebaliknya pilihan yang perlu dipertimbangkan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

“Kalau dah jodoh, memang kita tak boleh nak kata apa. Tapi selagi boleh elak, tolong elak.
“Jangan kacau rumahtangga orang, jangan kahwin dengan suami orang,” katanya.
Menurut beliau, setiap rumah tangga pasti mempunyai masalah tersendiri, namun seseorang wanita tidak seharusnya sengaja memilih jalan yang boleh membawa kepada konflik dan penderitaan emosi.
“Masalah rumah tangga pasti ada. Tapi jangan sengaja tempah rumah tangga yang bermasalah. Sungguh, hidup poligami ni tak mudah.
“Selalu dalam keraguan, kekeliruan, cemburu, persaingan, penipuan … penat!” katanya.
Bonda Nor turut menjelaskan walaupun tidak melalui kehidupan berpoligami, beliau sering menjadi pendengar dan saksi kepada kisah-kisah wanita yang menderita akibat konflik rumah tangga tersebut.
“Memang saya tak terlibat, tapi saya selalu melihat, saya selalu jadi pendengar, selalu jadi saksi mereka yang menderita kerana poligami.
“Maka, saya rasa tanggungjawab saya untuk berpesan-pesan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru wanita yang masih bujang agar memilih pasangan yang belum berkahwin demi mengelakkan tekanan emosi dan konflik berpanjangan pada masa hadapan.
“Kalau rasa nak kahwin, cari yang bujang. Elak kahwin dengan suami orang.
“Lebih baik tenang-tenang hidup sendiri daripada hidup bersuami tapi asyik makan hati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








