Wanita kongsi kisah bangkit daripada hutang, kejatuhan
BAGI Julia Ismail, 42, kisah getir hidup yang pernah dilaluinya bukan sekadar kenangan pahit, tetapi menjadi titik tolak untuk bangkit membina kehidupan baharu yang lebih kukuh dan matang dari segi kewangan.
Mengimbau perjalanan penuh liku, bekas wartawan itu pernah dibelenggu hutang ketika masih muda dan terpaksa menjalani program pengurusan kredit AKPK selepas kehilangan pekerjaan susulan krisis yang melanda syarikat tempatnya bekerja sekitar tujuh tahun lalu.

“Berhutang di usia muda, hilang pekerjaan juga di usia yang agak muda.
“Terpaksa ambil program AKPK. Rasanya bukan aku seorang di Utusan yang tak mampu bayar pinjaman selepas tragedi 2018.
“Gaji mula sangkut-sangkut dan akhirnya pada 2019, syarikat tutup,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook.
Namun kini, segala keperitan itu sudah berlalu.
Julia menyifatkan dirinya seolah-olah hilang beban besar di bahu apabila akhirnya berjaya melangsaikan baki pinjaman yang sepatutnya tamat dalam satu hingga dua tahun lagi.
“Episod itu sudah berakhir. Tutup buku lama, buka buku baru.
“Jangan meratapi benda yang tak mungkin kembali. Bangun atas dua kaki dengan semangat baharu,” katanya yang kini sudah kembali bekerja dalam bidang perhubungan awam.
Walaupun sedih meninggalkan dunia media, namun beliau tetap positif mencungkil kemahiran diri dalam bidang tersebut.
“Selepas beberapa ketika bergelar PR, baru saya sedar kemahiran yang saya miliki.
“Alhamdulillah, kini saya semakin stabil menjalani kehidupan yang berbaki. Apa yang penting, redha dengan ujian yang Allah beri dan syukur dengan apa yang kita masih miliki,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Kejayaan itu bagaimanapun tidak datang mudah. Julia mengakui sifat ‘kedekut’ dalam menyimpan menjadi penyelamat yang membolehkan dia menyelesaikan hutang yang sekian lama menghantui.
“Kenapa aku tak bagi orang pinjam duit? Sebab aku sendiri struggle nak hidup, struggle nak simpan duit. Duit kita untuk kecemasan kita, bukan kecemasan orang,” katanya jujur.

Julia turut menitipkan nasihat buat mereka yang sedang bergelut dengan beban kewangan agar sentiasa menjaga disiplin kewangan dan menjauhi sebarang tindakan yang boleh menjerat.
“Jangan buat hutang baharu. Bagi yang ada dalam AKPK, jika sudah mampu bayar jumlah pinjaman, keluarlah dari AKPK.
“AKPK memanjangkan pinjaman dan juga faedahnya. Hutang tetap hutang. Bayarlah perlahan-lahan,” pesan beliau.
Di hujung catatannya, Julia berharap agar dirinya kekal istiqamah tanpa menambah beban hutang baharu serta mendoakan agar orang lain juga dapat menyelesaikan hutang masing-masing.
Kisah Julia bukan sahaja memberi inspirasi, malah membuka mata tentang pentingnya pengurusan kewangan, ketabahan ketika diuji dan keberanian untuk memulakan hidup baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








