Mengidam ibu hamil: Antara psikologi, kesihatan dan panduan Islam
APABILA tular kisah seorang wanita hamil yang mengidam durian bakar, ramai yang tersenyum simpul.
Bagi sesetengah orang, ia mungkin hanya kisah lucu yang mencuit hati. Namun, bagi wanita yang mengalami, ia seakan-akan satu permintaan yang mampu membuat dirinya tenang selepas permintaan itu dipenuhi.
“Alhamdulillah, bila dapat makan buah durian yang dibakar atas kayu api, rasa bahagia sangat.
“Tiga kehamilan sebelum ini, saya tak ada pun mengidam yang pelik-pelik. Cuma mabuk biasa sahaja.

“Tapi mengandung kali ini, tak mabuk langsung, cuma cepat lapar dan selalu teringin nak makan sesuatu termasuklah durian bakar ini,” jelas wanita yang dikenali sebagai Nurul Huda Mohd Sani itu kepada Malaysia Tribune.
Menurut Nurul Huda, suaminya, Mohd Ariff Arizan memilih durian udang merah bagi memenuhi hasratnya selain berusaha mencari kayu kering di belakang rumah untuk membakar buah tersebut.
BACA : Isteri mengidam durian bakar, suami gigih penuhi hajat ibu mengandung
“Jenuh suami cari kayu kering sebab saya tak nak bakar atas dapur gas tapi nak dibakar atas kayu api dengan vibe asap-asap. Itulah yang saya rasa waktu itu. Tak sangka pula VTT itu boleh tular,” katanya lagi.
Terdahulu, video yang dimuat naik Nurul Huda itu berjaya meraih lebih 2.1 juta tontonan di TikTok selain menerima 87,700 tanda suka, 1,829 komen dan 27,200 perkongsian.

Dalam aspek psikologi dan Islam, fenomena mengidam sebenarnya membawa makna yang lebih mendalam dan wajar difahami secara menyeluruh demi kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan keharmonian rumah tangga.
Mengidam atau pica? Fahami perbezaannya
Pegawai Psikologi dan Ahli Psikologi Klinikal Berdaftar, Unit Psikologi, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Maktab Teknik PDRM Bakri, Saidatul Sariyah berkata, mengidam ialah keinginan kuat yang muncul secara tiba-tiba terhadap sesuatu makanan tertentu dan merupakan fenomena lazim dalam kalangan wanita hamil.

“Makanan yang diidam biasanya terdiri daripada sesuatu yang spesifik seperti manis, masam, pedas atau makanan tertentu yang sukar didapati.
“Dalam sesetengah kes, seperti durian bakar ia mungkin unik tapi masih tergolong dalam kategori makanan dan tidak berbahaya,” jelasnya.
Namun, jika seorang wanita hamil menunjukkan keinginan luar biasa terhadap bahan bukan makanan seperti sabun, tanah, pasir, kapur atau kertas, ia boleh menjadi petanda kepada satu gangguan pemakanan yang dikenali sebagai pica.
“Pica merupakan tabiat memakan bahan yang tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk dimakan.
“Berdasarkan Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), tingkah laku ini mesti berlarutan sekurang-kurangnya selama sebulan untuk diklasifikasikan sebagai gangguan klinikal.
“Dalam kes ibu hamil, ia boleh dikaitkan dengan kekurangan zat tertentu seperti zat besi dan zink atau mungkin berpunca daripada gangguan psikologi yang memerlukan penilaian lanjut oleh profesional kesihatan.

“Justeru, penting untuk membezakan antara mengidam yang normal dan tingkah laku pica. Jika keinginan terhadap bahan bukan makanan berlaku berpanjangan, rujukan kepada pakar kesihatan amat diperlukan,” tambahnya.
Pandangan Islam: Mengidam sebagai ujian dan peluang
Sementara itu, fenomena mengidam turut diteliti dari perspektif agama.
Menurut Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek, terdapat tiga perkara utama yang perlu difahami dalam Islam berkaitan dengan isu mengidam:
1. Kepatuhan kepada hukum syarak
“Apa yang dimakan mestilah halalan tayyiban, bukan sekadar halal, tetapi juga baik dan tidak memudaratkan kesihatan. Jika sesuatu yang diidam itu haram seperti daging babi atau tidak tayyib seperti petrol atau bahan kimia, maka ia jelas tidak dibenarkan.”
2. Mengidam sebagai ujian kesabaran
“Islam mengajar erti kesabaran. Mengidam boleh menjadi satu ujian dari segi kemampuan suami untuk memenuhi permintaan, kewangan serta cabaran mendapatkan makanan yang diidam jika sukar didapati.”
3. Membina kasih sayang suami isteri
“Inilah masa untuk suami memainkan peranan aktif menunjukkan keprihatinan terhadap isteri yang sedang hamil. Namun begitu, layanan itu mestilah berada dalam ruang lingkup syariat dan kemampuan sebenar.”

Sebagai contoh, sekiranya seorang ibu hamil mengidam makanan manis tetapi mempunyai kencing manis, maka makanan itu sudah tidak lagi dikira tayyib. Oleh itu, keinginan tersebut harus dikawal dan diganti dengan pilihan lebih sihat.
Tambah Dr. Rugayah, Islam sangat menekankan aspek pemakanan yang baik dan bersih. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib) dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia musuh yang nyata bagi kamu.”
Ujar beliau, ayat ini menjadi panduan asas dalam setiap pemilihan makanan termasuk ketika hamil bahawa keinginan tidak boleh mengatasi prinsip syarak dan kesejahteraan diri.
Mengidam dengan ilmu dan iman
Apa yang pasti, mengidam bukan sekadar soal rasa, tetapi juga ujian akal dan emosi. Ia menguji kesabaran isteri, keprihatinan suami dan kebijaksanaan kedua-duanya dalam membuat keputusan yang selamat dan berpandukan ajaran Islam.

Dalam dunia yang semakin mencabar, memahami perbezaan antara tabiat biasa dan gangguan seperti pica amat penting.
Begitu juga dalam soal pemakanan, prinsip halalan tayyiban perlu sentiasa menjadi panduan agar kesihatan ibu, bayi dan rumah tangga terus berada dalam keadaan yang diberkati.
Sesungguhnya, dalam setiap keinginan isteri itu terselit hikmah dan dalam setiap kesabaran suami itu, hadir ganjaran yang besar di sisi Allah SWT termasuklah dikurniakan rumah tangga yang sakinah, mawadah dan rahmah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








