Program Perantis perkukuh jati diri wanita hadapi cabaran dunia profesional
KUALA LUMPUR – Usaha melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berdaya tahan, berempati dan mempunyai hala tuju jelas terus diperkukuh menerusi Program Kepimpinan dan Pembangunan Wanita Perantis yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Inisiatif yang digerakkan oleh Adla Group Sdn. Bhd. itu kini melangkah ke tahun kedua penganjuran dengan pendekatan lebih tersusun dan komprehensif, sejajar keperluan semasa dunia profesional yang semakin mencabar.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan berkata, program tersebut dirangka dari peringkat asas dengan tumpuan khusus terhadap pembinaan kapasiti serta pengukuhan keupayaan kepimpinan wanita tanpa mengira latar industri.
Katanya, modul latihan yang dibangunkan memberi penekanan kepada kesedaran kendiri, pemahaman tingkah laku, refleksi dalaman serta keupayaan menyusun semula peranan sebagai pemimpin dalam organisasi.
“Ramai wanita mempunyai potensi besar, namun berdepan kekangan dari segi akses, sokongan dan keyakinan diri untuk melangkah lebih jauh. Justeru, program ini diwujudkan sebagai ruang selamat untuk mereka membina kekuatan dalaman dan kompetensi kepimpinan,” ujarnya.
Seramai 46 wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun dipilih menyertai program berkenaan selepas melalui proses saringan tertentu. Peserta terdiri daripada pelbagai bidang kerjaya dengan matlamat memperluas impak kepada komuniti yang lebih menyeluruh.
Program yang bermula Oktober lalu itu berlangsung selama enam bulan dan dibahagikan kepada dua kohort dengan kandungan modul yang seragam bagi memastikan standard kualiti kekal terpelihara.
Sepanjang tempoh tersebut, peserta mengikuti lapan sesi pementoran merangkumi bidang berbeza selain tugasan praktikal dan refleksi kendiri bagi membantu mereka mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan.
Hasnorliza berkata, pihaknya menekankan kepentingan sokongan berterusan selepas tamat program, terutama dalam membantu wanita menembusi lapisan kepimpinan lebih tinggi dalam organisasi masing-masing.
Selaras dengan falsafah program yang menitikberatkan kepimpinan berasaskan tujuan, pengaruh bermakna dan keseimbangan kehidupan, peserta turut didedahkan kepada kepentingan empati serta pengurusan peranan pelbagai yang sering digalas wanita.

Bagi penerima Outstanding Mentoring Journey Award, Suzana Sukaimi, 39, pengalaman menyertai kohort kedua memberi nafas baharu dalam kehidupannya selepas melalui episod peribadi yang mencabar.
Beliau yang berpengalaman hampir dua dekad dalam bidang media korporat berkata, program itu membantunya memperkukuh ketahanan diri selain memperbaiki aspek pengurusan masa dan jaringan sokongan.
“Program ini membuka ruang untuk saya lebih memahami diri sendiri, menyusun keutamaan serta membina keyakinan baharu sebagai pemimpin dan ibu,” katanya.
Malah, hasil penyertaan tersebut, beliau berjaya menganjurkan Program Women Who Rise (WWR): Resilience & Empowerment yang menghimpunkan wanita pelbagai latar belakang dalam usaha memperkasa ketahanan dan keyakinan diri.
Sementara itu, pemenang Emerging Strength Award, Adlia Nurin Badrisya Awalludin menyifatkan program berkenaan sebagai platform penting untuk membincangkan isu kesihatan mental secara terbuka.
Katanya, keberanian mengakui kelemahan dan emosi sendiri merupakan asas kepada pembentukan kepimpinan yang lebih tulen dan berintegriti.
“Daripada situ, saya belajar bahawa tidak salah untuk bersikap rapuh. Sebaliknya, ia menjadi titik tolak untuk bangkit dengan lebih yakin,” katanya yang terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Bagi Dr Roozita Maskun yang menerima Leadership Presence Award, struktur program yang sistematik membantu peserta kekal konsisten dalam membina potensi diri sepanjang enam bulan pelaksanaan.
Menurutnya, kekuatan utama program terletak pada sokongan komuniti sesama peserta serta pelan pembangunan yang jelas dan terarah.
“Program ini bukan sekadar latihan, tetapi perjalanan transformasi diri yang membolehkan saya menilai semula legasi sebagai pemimpin dan pendidik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







