Keluarga, sahabat ubat paling berharga buat Shakirah
DISAHKAN menghidap kanser payudara sejak 11 tahun lalu, pelbagai cabaran telah dilalui Shakirah Md Din.
Wanita berhati waja itu terus teguh memperjuangkan nyawa yang dipinjamkan Tuhan meskipun telah kehilangan beberapa organ dalaman.

Justeru, ketika memperingati Hari Kanser Sedunia pada tarikh 4 Februari lalu, Shakirah, 55, berdiri sebagai simbol kekuatan dan harapan.
Lebih sedekad, beliau yang merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bertahan sebagai pejuang kanser, menghadapi suka duka kehidupan yang tidak pernah sunyi daripada cabaran.
Bagi Shakirah, Jabatan Onkologi, Hospital Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai ‘Rumah Hijau’ bukan sekadar tempat rawatan.
Itu adalah tempat yang penuh cerita. Ada air mata yang mengalir tanpa henti, tetapi ada juga tawa yang menjadi penyembuh luka.

Ia adalah ruang di mana harapan tumbuh dan kasih sayang berakar umbi.
“Pejam celik, sudah 11 tahun saya di sini,” kata Shakirah kepada Malaysia Tribune sambil mengenang perjalanan panjang yang ditempuhnya.
Namun, segalanya kini berbeza. Wad Day Care yang pernah menjadi tempat persinggahannya sudah tidak lagi dikunjungi.
Beberapa petugas yang akrab dengannya seperti Misi Rosilah Ayub dan Nurul Aida (Noyu), telah meninggalkan tempat itu, sama ada berpencen atau berpindah.

Dan yang paling menyayat hati, ramai rakan seperjuangannya telah meninggal dunia.
Kenangan mereka yang pernah bersama-sama mengukir senyuman dan tangisan, kini hanya tinggal sebagai kenangan yang hidup dalam hati Shakirah.
Dan bagi beliau, dua insan paling istimewa iaitu suami yang dipanggil Pokji Laling dan anak perempuannya, Cik Min menjadi tonggak kekuatan dalam hidupnya.
“Mereka adalah support system saya yang tidak pernah lelah memberi semangat.

“Seawal Subuh, kami sudah keluar rumah. Pokji memandu kereta, sementara Cik Min terburu-buru mendapatkan nombor giliran,” katanya menceritakan rutin yang berduka tetapi penuh makna.
Walaupun suasana di Rumah Hijau sentiasa sesak, semangat Shakirah tidak pernah goyah.
Dengan kasih sayang dan sokongan mereka yang tersayang, setiap detik terasa lebih ringan.
“Di Rumah Hijau, saya belajar bahawa sokongan dari ahli keluarga dan sahabat adalah ubat paling berkesan.
“Saya belajar tentang erti kasih sayang sebenar dan bagaimana cinta itu tidak memerlukan banyak kata, tetapi cukup melalui tindakan yang ikhlas,” katanya lagi.

Selama 11 tahun bersahabat dengan kanser, Shakirah mengakui bahawa penyakit itu boleh melemahkan tubuh, tetapi ia tidak pernah mampu memadamkan semangatnya.
“Kanser boleh merampas kekuatan tubuh, tapi selagi ada cinta dan sokongan, semangat itu takkan pernah hilang,” katanya penuh yakin.
Untuk mereka yang sedang berjuang, pesannya jelas: “Jangan takut bergantung pada mereka yang sayang kita. Kita tak perlu kuat setiap masa. Kadang, kekuatan itu datang dari mereka yang berada di sisi kita.”
Penulis buku Pasport Jenazah 1 & 2, Suami Limited Edition dan Umrah VIP itu juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang tidak pernah berhenti menyokongnya sepanjang perjalanan yang dilalui.

“Terima kasih, hangpa. Terima kasih kerana terus ada, walaupun kadang kami hampir menyerah. Tanpa kalian, kami mungkin takkan bertahan sejauh ini.”
Kisah Shakirah Md Din bukan sekadar sebuah cerita. Ia adalah inspirasi bagi semua, baik yang sedang berjuang melawan kanser mahupun yang berada di sisi mereka.
Apa yang pasti, Hari Kanser Sedunia bukan hanya tentang meningkatkan kesedaran, tetapi juga tentang menyebarkan harapan bahawa kehidupan, walaupun penuh cabaran, tetap berharga untuk dijalani.

Shakirah adalah salah satu bukti nyata. Kegigihannya untuk terus merebut pahala akhirat melalui siri bengkel bimbingan penulisan kepada para penulis baru, sentiasa membara.
Semoga kisah Shakirah, ibu kepada empat orang cahaya mata itu terus menjadi inspirasi kepada semua. Selagi ada kasih sayang dan sokongan, kita pasti mampu bertahan mendepani setiap ujian Tuhan.
Terbaharu, Shakirah sekali lagi bakal terbang ke ‘kampung halaman’ yang dirinduinya untuk mengerjakan ibadah umrah di bumi Haramain sempena bulan Ramadan pada 3 hingga 18 Mac depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








