Tempoh iddah lambang ketaatan, kesabaran wanita
Oleh USTAZAH AMIENAH RIDZWAN
MELALUI tempoh iddah adalah suatu ketaatan terhadap perintah Allah yang wajib dipatuhi oleh isteri yang telah berpisah dengan suaminya.
Sama ada perpisahan disebabkan kematian atau akibat perceraian, ia merupakan ibadah yang menguji kesabaran dan ketaatan seseorang wanita kepada Penciptanya.
Pensyariatan iddah perceraian bagi para isteri bertujuan untuk saling memuhasabah akhlak, keperibadian dan sahsiah diri sepanjang usia perkahwinan.

Wajarlah kebaikan si suami dikenang, dinilai dan dihargai walaupun tidak dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan dalam rumah tangga.
Ini adalah sebahagian daripada sifat syukur yang diletakkan dalam diri seseorang sehingga mampu menundukkan ego, menghakis sifat sombong serta mengikis sikap pentingkan diri sendiri.
Adapun iddah di sisi isteri yang ingin membina rumah tangga baru dengan lelaki lain, hikmahnya adalah untuk menentukan sama ada rahim si isteri ada menyimpan benih suami atau tidak.
Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dalam penentuan nasab. Inilah buktinya bahawa Islam amat menjaga kesucian nasab dan keturunan manusia.
Bagi iddah talak yang boleh dirujuk, ia merupakan ruang tenang kepada pasangan suami isteri untuk berfikir dan menilai semula segala perilaku dan perbuatan mereka termasuk memikirkan implikasi yang bakal berlaku sekiranya mereka memilih perceraian sebagai penutup perkahwinan.
Bagi pasangan yang menyesali kekhilafan mereka di peringkat perceraian talak satu dan dua, mereka boleh memilih untuk berdamai dengan merujuk kembali perkahwinan tersebut dan itulah sebaik-baik jalan yang diharapkan oleh agama Islam.
Bagi perceraian dengan sebab kematian pula, iddah ditetapkan agar si isteri kekal menjaga hak dan maruah suami walaupun suami sudah tiada di sisi.
Isteri yang mentaati kewajipan iddah ini, hakikatnya telah menzahirkan rasa hormat dan kesetiaannya terhadap suami serta pengabdian diri terhadap segala perintah Allah buatnya.

Wajib mereka mentaati perintah ini sebagai tempoh bermuhasabah dan mengenang kembali segala kebaikan suami sepanjang kehidupan berumah tangga.
Seiring dengan kewajipan seorang isteri ketika hayat si suami, begitu jugalah kewajipan mereka setelah kematian suami.
Isteri yang berada di dalam tempoh iddah dituntut untuk kekal berada di dalam rumah dan menjauhkan diri mereka daripada apa jua fitnah.
Tuntutan ini bersifat wajib sehingga dibahaskan oleh sebahagian ulama bahawa sekiranya ada keperluan mendesak sahaja, seperti mendapatkan rawatan di hospital dan bekerja yang menjadi punca rezeki, barulah mereka dibenarkan untuk keluar dari rumah atas tujuan tersebut.
Selayaknya, wanita melalui fasa iddah dengan menyembunyikan diri di rumah dalam persekitaran yang selamat sambil memfokuskan diri dengan ibadah.

Turut menjadi kewajipan ketika iddah adalah menjaga kehormatan diri dan suami, menjaga kesihatan fizikal dan mental, mengelak dari menghias diri secara berlebihan, menjauhi jalinan hubungan yang tidak sihat dengan lelaki termasuklah mengelak dari mendedahkan diri kepada media sosial.
Ketika melalui fasa ini, para isteri hendaklah berpenampilan sederhana serta menjaga hak-hak di dalam iddah yang mampu mendekatkan diri mereka kepada Allah dan melahirkan rasa sedih di atas ujian perpisahan yang melanda.
Bagi wanita yang berjaya melalui iddah ini dengan baik, janji Allah buat mereka adalah pahala yang luas sebagaimana yang diriwayatkan dalam Hadis Sahih Bukhari: “Jika Allah menginginkan kebaikan bagi seorang hamba-Nya, Dia akan mengujinya dengan musibah. Maka jika hamba-Nya bersabar, Allah akan memberinya pahala yang besar.”
Jelas kini, indahnya ganjaran bagi wanita yang menghormati syariat beriddah atas musibah perpisahan dan melaluinya dengan penuh keinsafan demi menjaga kesucian hubungan kekeluargaan yang pernah terjalin dan menutup ruang-ruang fitnah.
Ini kerana, rasa hormat dan persaudaraan yang diterapkan di dalam Islam, bersifat kekal dan tidak perlu diakhiri walaupun telah berakhirnya sesebuah perkahwinan.
Namun jika berlaku sebaliknya, para isteri bukan sahaja mengingkari perintah Allah, malah telah mengundang murka-Nya.
Mengabaikan hak suami adalah maksiat terbesar dilakukan oleh seseorang isteri yang mungkin berlaku secara tidak sengaja, kesan daripada lemahnya hati insani dalam mengawal emosi dan rasa ingin meraih simpati dan perhatian dari golongan yang tidak selayaknya.
Perkongsian dan curahan yang cuba diluahkan untuk melegakan hati sendiri, mampu mendatangkan keburukan sehingga mengakibatkan iddah gagal disempurnakan dengan baik.
Implikasinya, dunia ditempuhi tanpa keberkatan dan tiada ketenangan dalam kehidupan.
Mana mungkin perbuatan yang dicela oleh Allah mampu membahagiakan individu, melainkan ada padanya ‘istidraj’ iaitu nikmat kemewahan yang dilimpahi sebagai ujian dan azab yang tersembunyi.
Oleh yang demikian, wajiblah tempoh iddah ini dimanfaatkan dengan aktiviti memuhasabah diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan diri untuk menempuhi fasa kehidupan seterusnya yang mungkin lebih mencabar dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Curahan hati dan emosi, selayaknya diluahkan hanya kepada Allah dan dipanjatkan dalam doa.
Gelora dan gundah gulana hati yang sedih juga perlulah ditenangkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikrullah.
Sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”
Inilah tuntutan agama buat isteri untuk melalui iddah dengan sebaik-baik jalan.
Semoga para isteri yang mentaati segala titah perintah Allah dikurniakan ketabahan, keringanan ujian dan diberikan sinar baru dalam kehidupan.
*Penulis ialah Ketua Jabatan Persijilan Pengajian Islam, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








