BERITA SEMASA

Kerajaan sedia bincang cadangan pemansuhan PTPTN

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia meneliti cadangan untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) susulan isu berkenaan kembali dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincang bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, selain mengambil kira pandangan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya akan cuba membincangkan isu PTPTN secara baik kerana Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi kita mahu berbincang mengenai perkara ini dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), yang membangkitkan isu PTPTN selepas mendakwa perkara itu dijadikan antara bahan kempen oleh Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Khoo berkata, kenyataan Menteri Besar Johor berhubung kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji memansuhkan PTPTN telah memberi kesan kepada persepsi golongan muda, khususnya graduan.

Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan tersebut memandangkan Menteri Pendidikan Tinggi ketika ini juga daripada BN.

Pada PRN Johor baru-baru ini, BN dan PH bertanding sebagai seteru, dengan BN mencatat kemenangan besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Untuk rekod, gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini pernah berjanji memansuhkan PTPTN serta memperkenalkan pendidikan tinggi percuma dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022 pula, PH berjanji mempertimbangkan pengecualian atau penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam daripada golongan B40 atau mereka yang berpendapatan di bawah paras tertentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button