Sheikh Umar selar Onn Hafiz, tegaskan agenda rakyat perlu atasi perbezaan politik
JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menyelar kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang enggan duduk semeja dengan parti itu jika Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sheikh Umar berkata, dalam sebuah negara demokrasi yang matang, setiap parti politik berhak mempunyai pendirian serta strategi politik masing-masing, namun fokus utama pemimpin seharusnya tertumpu kepada usaha memastikan rakyat menikmati manfaat daripada pentadbiran yang berkesan, stabil dan berintegriti.
Katanya, Malaysia ketika ini berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan kerjasama merentasi sempadan politik termasuk isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
“Rakyat mengharapkan pemimpin menawarkan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi, bukannya memperbesarkan perbezaan politik yang akhirnya merugikan rakyat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, pengalaman Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan membuktikan parti-parti yang mempunyai latar belakang berbeza mampu bekerjasama demi menjamin kestabilan negara, memulihkan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama tersebut tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, sebaliknya menunjukkan kematangan politik dalam meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti,” katanya.
Sheikh Umar berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) Johor kekal berpegang kepada prinsip bahawa politik harus menjadi medan untuk membina dan bukannya memecah-belahkan masyarakat.
“DAP menghormati mandat rakyat, institusi demokrasi serta peranan semua pihak dalam membangunkan Johor sebagai sebuah negeri yang maju, inklusif dan makmur.
“Perbincangan mengenai masa depan Johor perlu tertumpu kepada dasar, prestasi dan tawaran kepada rakyat, bukannya retorik yang berisiko menjarakkan ruang kerjasama yang diperlukan demi kepentingan negeri dan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















