BERITA SEMASA

IPU Serian cecah 495, hampiri paras darurat

KUCHING: Situasi jerebu di Sarawak kembali membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melonjak mendadak kepada 495 setakat pukul 7 pagi ini, menghampiri paras darurat.

Semakan menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati kawasan di IPD Serian merupakan satu-satunya lokasi di negara ini yang merekodkan bacaan pada tahap berbahaya, selepas indeks pencemaran di kawasan itu meningkat sejak pukul 6 petang semalam.

Sebelum ini, keadaan jerebu di kawasan berkenaan dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pemulihan sejak 24 jam lalu, namun bacaan IPU kembali mencanak secara mendadak sehingga menghampiri paras 500.

Tiga lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap amat tidak sihat, masing-masing Kuching dengan 289, Samarahan (265) dan Sri Aman (250).

Selain itu, enam kawasan lain turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Sarikei (181), Sibu (174), Mukah (169), Bintulu (159), Samalaju (153) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (149).

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekiranya bacaan IPU mencecah 500 di sesuatu lokaliti, kawasan itu boleh diisytiharkan darurat.

Katanya, pengisytiharan itu akan menyebabkan semua sektor awam dan swasta di kawasan terbabit ditutup, kecuali perkhidmatan penting.

JPBNS juga akan memaklumkan perkembangan tersebut kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut sekiranya bacaan IPU mencapai paras berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button