PRN Johor: Mat Sabu kecam politik perkauman, pertahan kerjasama PH-DAP
JOHOR BAHRU – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengkritik pihak yang terus memainkan sentimen perkauman dan menjadikan DAP sebagai bahan kempen bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian tidak membawa manfaat kepada rakyat kerana penilaian terhadap seseorang pemimpin atau parti politik seharusnya dibuat berdasarkan integriti, kejujuran dan kemampuan berkhidmat, bukannya latar belakang kaum.
Menurutnya, setiap kaum mempunyai individu yang baik dan sebaliknya, justeru rakyat perlu menolak politik sempit yang hanya bertujuan meraih sokongan melalui sentimen perkauman.
“Pelik apabila isu ini terus dimainkan semata-mata untuk mendapatkan undi Melayu. Kadang-kadang isu kaum dimainkan bukan atas soal integriti atau keupayaan, tetapi kerana mahu mendapatkan keuntungan politik,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Johor ke Depan Undi Harapan di sini hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mempersoalkan kritikan terhadap kerjasama PH dengan DAP sedangkan parti itu turut menyokong pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui UMNO di beberapa negeri.

“Pemilihan wakil rakyat perlu berasaskan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat serta membawa pembangunan kepada kawasan yang diwakili,” katanya lagi.
Beliau berkata, penyertaan calon Melayu dalam DAP membuktikan parti tersebut terbuka kepada semua kaum dan tidak seperti dakwaan sesetengah pihak yang melabelkannya sebagai parti bersifat perkauman.
Terdahulu, Mat Sabu memaklumkan beliau baru pulang dari Tehran, Iran selepas menghadiri upacara pengebumian seorang pemimpin republik berkenaan.
Menurut beliau, pemimpin itu dikenang kerana gaya hidup sederhana serta pengorbanannya demi rakyat sehingga disifatkan setanding dengan beberapa tokoh dunia yang memperjuangkan kebebasan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut memuji sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak gaji jawatan berkenaan dan menyifatkannya sebagai contoh kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding keuntungan peribadi.
Sementara itu, Mat Sabu menegaskan keharmonian kaum perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan Johor.
“Kita mahu Johor terus maju. Untuk itu, perpaduan rakyat pelbagai kaum mesti diperkukuhkan supaya pelabur terus yakin dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya lagi.
Mengulas hubungan dengan pimpinan parti lain, beliau berkata, hubungan di peringkat nasional berada dalam keadaan baik, namun terdapat pihak yang cuba menimbulkan persepsi negatif bagi memecah-belahkan kerjasama sedia ada.
Justeru, beliau menyeru jentera serta penyokong PH menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada hari pengundian sekali gus membolehkan PH menerajui pentadbiran negeri Johor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















