BERITA SEMASA

Saya tiada simpan apa-apa dokumen kerana semuanya klasifikasi rahsia kementerian – Rafizi

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, memaklumkan beliau tidak menyimpan sebarang dokumen rasmi berkaitan pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion kerana semuanya diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia di bawah bidang kuasa kementerian.

Beliau berkata demikian selepas selesai memberi keterangan hari kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, yang berlangsung selama lebih sembilan jam.

“Saya memang tidak ada dokumen apa-apa kerana semua yang bersabit dengan urusan menteri adalah rahsia.

“Segala dokumen yang dirujuk dalam siasatan dikumpul sendiri oleh pihak penyiasat (SPRM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan SPRM di sini, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, proses siasatan berjalan lancar dan akan disambung semula esok pada pukul dua petang.

“Esok akan bersambung, cuma bermula pukul dua. Kita lihat berapa lama masa diperlukan dan jika tidak selesai, siasatan mungkin diteruskan pada hari Khamis,” katanya kepada pemberita.

Siasatan ke atas Rafizi dibuat berkaitan pelaburan semikonduktor melibatkan firma berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button