Haramkan vape di Selangor, jangan beri alasan lagi – Pemuda PAS
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak berlengah dan segera mengambil tindakan tegas mengharamkan penjualan produk rokok elektronik (vape) di negeri itu.
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, desakan tersebut dibuat berikutan kebimbangan terhadap trend penyalahgunaan vape yang kini disalah guna sebagai medium pengedaran serta penagihan bahan narkotik jenis New Psychoactive Substances (NPS).
Menurutnya, pendedahan dan amaran keras yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay perkembangan itu membuktikan bahawa isu vape bukan sekadar masalah kesihatan awam, malah telah berubah menjadi ancaman keselamatan yang serius.
“Taktik licik mencampurkan bahan narkotik ke dalam cecair vape kini secara terang-terangan menyasarkan golongan remaja dan belia di negara ini.
“Kami amat kecewa dengan alasan demi alasan serta kegagalan Kerajaan Selangor untuk mengambil langkah lebih segera dan tegas bagi mengawal atau menyekat penjualan vape di negeri ini, sedangkan pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Selangor disarankan mencontohi langkah proaktif Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor, dan Pahang yang telah mengharamkan penjualan vape melalui kuasa pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tindakan itu membuktikan kawalan dari sudut pentadbiran sebenarnya boleh dilaksanakan jika kerajaan negeri mempunyai iltizam politik yang ikhlas demi melindungi rakyat.
“Kerajaan Selangor yang sering dibangga-banggakan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah negeri maju tidak seharusnya melewat-lewatkan inisiatif mengharamkan vape,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

