Larikan warga Palestin, buruh binaan dipenjara tiga tahun
KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin di sebuah chalet di Hulu Langat, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman terhadap Edy Ko’im Said, 46, dan memerintahkan hukuman bermula hari ini, memetik laporan Buletin TV3.
Mengikut pertuduhan, Edy Ko’im didakwa melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini, pada 10.40 malam 28 September 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dibawa ke sebuah chalet di Hulu Langat sebelum polis menyerbu lokasi itu hasil maklumat risikan dan menemukannya dalam keadaan tangan serta kaki diikat menggunakan pengikat kabel.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan Edy Ko’im sebelum ini berdepan pertuduhan menculik, namun representasi dikemukakan diterima pihak pendakwaan sebelum pertuduhan pilihan ditawarkan.
Mahadhir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan.
Bagaimanapun, peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menyara isteri dan tiga anak.
Sementara itu, perbicaraan kes penculikan mangsa sama yang membabitkan tujuh lagi tertuduh diteruskan hari ini.
Mereka itu adalah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45; Mohamad Naziree Mustapha, 45; Faizull Hardey Mohd Isa, 46; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31; Mohd Zaidi Mohd Zain, 60; Nidarahayu Zainal, 40; dan Raibafie Amdan, 45.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan mangsa di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran berupa maklumat rahsia berkaitan cara membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Tengku Arif Bongsu bersama pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan lain membabitkan wang berjumlah lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 10 Julai tahun lalu, enam lelaki iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54, dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, masing-masing dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan berkaitan penculikan dan pengurungan mangsa sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








