BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Nissan Navara rempuh pasangan suami isteri didakwa hari ini

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 32 tahun yang terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi dinaiki pasangan suami isteri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis bagi menghadapi pendakwaan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 2.30 petang berhampiran Plaza Tol Duta di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) itu mengakibatkan pasangan suami isteri yang menunggang motosikal Benelli TRK 502 mengalami kecederaan serius.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak pada tulang selangka serta luka di bahagian buku lali, manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah termasuk pendarahan di kepala serta patah tulang rusuk dan buku lali.

Kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh dari arah kanan oleh Nissan Navara yang dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal.

“Pemandu Nissan Navara itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil membuat laporan polis pada hari kejadian sekitar jam 6.55 petang.

“Dia kemudiannya ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di laman Facebook selepas rakaman video insiden dimuat naik oleh akaun ‘DashCam Malaysia’, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mengecam tindakan berbahaya pemandu tersebut

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button