BERITA SEMASA

Port Dickson catat IPU tidak sihat

PUTRAJAYA – Kawasan Port Dickson di Negeri Sembilan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat dengan catatan 117 setakat pukul jam 3 petang tadi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, lima kawasan lain mencatatkan status kualiti udara baik manakala 62 kawasan berada pada tahap sederhana mengikut kategori JAS.

“Kemerosotan kualiti udara ini disebabkan pergerakan asap jerebu yang memasuki rantau negara. Tiada kebakaran besar dalam negara yang dikesan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 79 titik panas di Sumatera, lapan titik panas di Kalimantan serta empat titik panas di dalam negara iaitu di Pahang.

Beliau berkata, peta jerebu serantau yang dikeluarkan oleh ASMC semalam menunjukkan asap jerebu bertiup ke arah barat daya.

Menurut Wan Abdul Latiff, JAS telah meningkatkan penguatkuasaan serta melaksanakan rondaan harian di kawasan berisiko tinggi untuk pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU secara berterusan.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) juga telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 melebihi tempoh 24 jam.

“Semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika dan taska pula akan ditutup serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200,” jelasnya.

Pihak pengurusan institusi pendidikan juga dinasihatkan untuk memantau trend bacaan IPU dan bersiap sedia bagi pelaksanaan penutupan sekiranya perlu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button