BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lelaki di Rawang mengaku rasul, bertemu Nabi Adam, Rasulullah, ditahan JAIS

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga emas yang didakwa mengaku sebagai Rasul membawa padah apabila dia ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Rawang, semalam.

Turut ditahan bersama lelaki berusia 65 tahun itu ialah tiga lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai berada di lokasi sama ketika serbuan dijalankan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, operasi berkenaan dilaksanakan pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS susulan aduan diterima pada 9 Februari lalu.

Menurut beliau, pengadu mendakwa seorang ahli keluarganya terpengaruh dengan ajaran individu terbabit yang mengaku sebagai Rasul.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mendakwa pernah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang dan bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.

“Dia juga mendakwa bertemu para Rasul dua hingga tiga kali seminggu, dengan kejadian itu dikatakan berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pengikut lelaki terbabit mempercayai dia sebagai utusan Allah dan menganggap setiap perlakuannya sebagai perintah Ilahi, termasuk dakwaan tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa sekiranya berasa letih atau uzur.

Sehubungan itu, JAIS membuka siasatan dan melakukan tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki terlibat dalam perbuatan atau upacara berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button