Lelaki tunjuk kemaluan diberkas di Merotai
TAWAU – Seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an ditahan polis selepas disyaki menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dalam kejadian berhampiran kawasan perumahan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.
Menurut beliau, mangsa dihampiri sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tidak dikenali yang berpura-pura bertanyakan arah jalan.
“Bagaimanapun, suspek kemudian bertindak tidak bermoral dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
“Remaja itu yang terkejut segera melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah di kawasan Merotai kira-kira pukul 4.30 petang hari sama.
“Turut dirampas ialah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan semasa kejadian.
“Suspek bersama kenderaan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Jasmin turut berkata, pihak polis memandang serius sebarang bentuk gangguan seksual, terutama melibatkan kanak-kanak dan remaja, serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








