PRN Negeri Sembilan: Kementerian Komunikasi buka tiga pusat media mulai esok
SEREMBAN – Kementerian Komunikasi membuka tiga Pusat Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bagi memudahkan urusan liputan pengamal media sepanjang proses pilihan raya bermula esok hingga 1 Ogos depan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pusat media berkenaan dikendalikan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut kenyataan itu, tiga pusat media yang disediakan ialah Pusat Media Seremban di Hotel Seri Malaysia, Pusat Media Port Dickson di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Paya dan Pusat Media Kuala Pilah di NADI Kampung Gentam.
“Pengamal media boleh menggunakan kemudahan disediakan serta mendapatkan maklumat di pusat media berkenaan.
“Mereka yang membuat liputan di lokaliti lain juga dapat menggunakan kemudahan serta Internet di 60 NADI sekitar Negeri Sembilan yang diaktifkan sebagai Pusat Media Sokongan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, MCMC turut membuka kaunter aduan di semua pusat media berkenaan bagi memantau dan menyelaraskan sebarang isu berkaitan liputan Internet, gangguan telekomunikasi serta kandungan dalam talian termasuk isu 3R, penipuan dalam talian dan penyamaran.
Katanya, senarai lokasi NADI boleh dirujuk menerusi laman sesawang https://www.nadi.my/lokasi-nadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos depan
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








