POLITIK

Pengundi bijak nilai prestasi, tolak politik perkauman

AMPANGAN – Pengundi masa kini lebih bijak menolak kempen politik berasaskan perkauman, sebaliknya mengutamakan kestabilan ekonomi serta rekod pentadbiran dalam menentukan pilihan mereka.

Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, naratif yang sering dimainkan pihak lawan seperti “undi Pakatan Harapan bermakna undi DAP” tidak lagi memberi kesan besar kerana rakyat semakin matang dalam menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian ekonomi serta kesejahteraan hidup, lapor Suara Keadilan.

“Orang ramai hari ini melihat siapa yang mampu mentadbir negara dengan baik dan memastikan ekonomi terus berkembang. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi dengan politik kebencian atau sentimen perkauman,” katanya ketika berceramah pada majlis sembang santai bersama Veteran PKR di Ampangan, hari ini.

Beliau berkata, dakwaan bahawa DAP merupakan ancaman kepada orang Melayu juga tidak berasas kerana rekod lampau menunjukkan pemimpin parti itu sendiri pernah mempertahankan hak UMNO untuk terus wujud dalam sistem demokrasi negara.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang pada September 2019 yang secara terbuka menyatakan UMNO tidak sepatutnya diharamkan walaupun beberapa pemimpinnya berdepan kes mahkamah.

Dalam kenyataannya itu, Lip Eng menegaskan, UMNO perlu diberi peluang memperbaiki parti dan pembatalan pendaftarannya hanya akan mencetuskan sentimen perkauman serta memecahbelahkan masyarakat.

“Sebab itu saya kata, jangan mudah percaya. Hakikatnya, ketika timbul cadangan supaya UMNO diharamkan, pemimpin DAP sendiri tampil mempertahankan supaya perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pengalaman sepanjang berkempen juga menunjukkan perubahan ketara dalam pemikiran pengundi apabila mereka lebih memberi perhatian kepada isu kos sara hidup dan kestabilan negara berbanding retorik perkauman.

Abdullah Sani berkongsi pengalaman bertemu seorang pengundi warga emas yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu negara kembali berdepan kesukaran ekonomi.

“Beliau beritahu saya, rakyat berdepan pelbagai kesukaran untuk mendapatkan keperluan harian dan tidak mahu keadaan itu berulang. Bagi beliau, kestabilan kerajaan lebih penting daripada politik yang memecahbelahkan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button