BERITA SEMASA

Gabungan NGO Melayu gesa rakyat Negeri Sembilan tolak politik kebencian, ekstremisme

SEREMBAN – Gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan menyeru masyarakat Melayu di negeri itu supaya menolak budaya ekstremisme, politik kebencian, fitnah serta penyebaran maklumat palsu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Al Abrar, Che Rus Husin berkata, masyarakat perlu memastikan perbezaan pandangan politik diraikan secara matang berasaskan ilmu, hujah dan fakta.

Beliau berkata, Negeri Sembilan yang dibina atas semangat hidup bersama dalam masyarakat majmuk perlu terus dipelihara daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Perbezaan pandangan khususnya berkaitan pandangan politik hendaklah diraikan secara matang berasaskan ilmu, hujah, fakta dan proses syura bukannya dengan kempen yang memperlekeh, menghina dan meniup api kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media rasmi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlasngsung esok.

Che Rus berkata, Gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan berpandangan negeri itu memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, bersih, amanah dan berintegriti bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, sokongan kepada mana-mana kerajaan perlu dibuat berdasarkan prestasi, integriti, tadbir urus yang baik serta kemampuan membawa manfaat kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Melayu di negeri itu supaya menghalang budaya ekstremisme daripada bertapak dan menular di Negeri Sembilan.

“Kami menyeru seluruh masyarakat Melayu Negeri Sembilan supaya menolak budaya Khawarij, takfiri (mudah mengkafirkan Muslim lain), fitnah, penyebaran maklumat atau berita palsu, politik kebencian, perkauman melampau dan sebarang usaha yang boleh memecah-belahkan perpaduan serta keharmonian masyarakat kita,” katanya.

Che Rus turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir penyokong parti politik tertentu yang didakwa tidak menghormati kemuliaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawwir.

Menurutnya, institusi istana perlu sentiasa dipelihara, dimuliakan dan menjadi tempat rakyat jelata bernaung.

Beliau berkata, gabungan itu turut menyokong pandangan Pertubuhan Professor Melayu G70 yang menyeru masyarakat Melayu memilih pentadbiran yang terbukti mampu menjaga syiar Islam, mengembangkan ekonomi, mempertahankan keamanan serta mengutamakan kepentingan orang Melayu dan rakyat Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Che Rus menyeru masyarakat Melayu Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Negeri Sembilan dengan penuh kesedaran demi menentukan masa depan negeri.

Beliau berkata, gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan menyokong kesinambungan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang disifatkan telah membawa manfaat kepada Islam, orang Melayu serta rakyat Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button