Penyiasat SPRM masuki ibu pejabat TH
PUTRAJAYA – Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji (TH) hari ini bagi meneliti dokumen dalaman susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abd Halim Aman, lapan pegawai penyiasat itu juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil bagi dirakam percakapan selepas meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan, lapor HM Online.
“Untuk makluman semua, pihak kami telah pun bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji, pagi tadi. Pasukan penyiasatan sudah mula melakukan siasatan pagi ini, di mana seramai lapan pegawai ke TH.
“Mereka mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang ditekankan dalam RCI serta perkara yang berkait dengan siasatan kami,” katanya dalam laporan tersebut.
Mengulas sama ada pengurusan tertinggi TH termasuk memanggil bekas pengerusi, Abd. Halim menegaskan, siasatan akan dijalankan berdasarkan penemuan dan syor dikemukakan dalam laporan RCI.
“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun ketidakberesan berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
“Mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya lagi.
Laporan RCI TH yang didedahkan kelmarin mendapati, TH berdepan krisis kewangan serius pada 2017 dan menggunakan kaedah ‘perakaunan kreatif’ bagi membolehkan pembayaran hibah yang tinggi.
Menurut laporan itu, TH sepatutnya merekodkan kerugian RM1.4 bilion dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion.
Selain itu, hukuman tatatertib terhadap lima pegawai kanan pula didapati diringankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















