Pertumbuhan digital mesti seiring tenaga hijau, nilai moral — Anwar
GYEONGJU – Pertumbuhan digital mesti bergerak seiring dengan tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam dan prinsip moral yang tidak boleh dikompromi, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kemajuan teknologi tidak seharusnya hanya diukur melalui kecekapan atau keuntungan, sebaliknya perlu berlandaskan nilai kemanusiaan agar tidak menghakis makna serta tujuan sebenar kemajuan itu sendiri.
Anwar menegaskan perkara itu dalam Kenyataan Negara Malaysia yang disampaikan semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bertemakan “Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadap Masa Hadapan.”
Menurut beliau, cabaran besar dunia hari ini ialah memastikan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital tidak menjadikan manusia hamba kepada teknologi, tetapi sebaliknya memperkasa kreativiti dan nilai murni.
“AI bukan lagi sekadar peranti canggih di hujung jari, ia kini menjadi nadi masa depan kita. Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimana memastikan teknologi ini dapat menyantuni manusia tanpa rasa terbeban serta tidak menghakis nilai yang membentuk kemanusiaan,” katany dalam kenyataan.
Anwar berkata, lebih setengah abad lalu, filasuf Jerman Martin Heidegger mengingatkan bahawa roh sebenar teknologi tidak terletak pada mesin yang dicipta manusia, tetapi pada bagaimana ia mengubah cara berfikir dan mencari makna hidup.
“Peringatan ini amat relevan tatkala algoritma dan data mula membentuk pandangan dunia serta mempengaruhi keputusan yang sepatutnya berpaksikan akal budi dan nilai kemanusiaan,” jelasnya.
Beliau menambah, Malaysia percaya kekuatan sebenar teknologi terletak pada kemampuannya mengangkat tamadun manusia, bukan menenggelamkan nilai luhur yang membentuk asas peradaban.
“Kami menyokong pembangunan AI bagi memperluas ilmu, mempercepat inovasi dan mencipta peluang baharu yang mampu mengangkat martabat rakyat.
“Kita tidak mahu dunia di mana peranti menentukan takdir manusia, sebaliknya mahu membina masa depan di mana AI memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa,” katanya.
Menurut Anwar lagi, teknologi mesti kekal sebagai alat kemajuan insan, bukan pengganti makna kemanusiaan.
“Yang penting bukan hanya menjadi negara pintar, tetapi bangsa yang bijaksana. Kerana kemajuan tanpa nilai dan hikmah hanya akan membawa manusia kehilangan arah dan makna,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








