BERITA SEMASA

‘Saya reda, ini takdir Allah’ – Bapa tabah lepas kehilangan Muhammad Umar

KLUANG – “Saya reda… ini semua takdir Allah. Walaupun berat untuk diterima, saya tidak menyalahkan sesiapa.”

Demikian luahan bapa kepada Muhammad Umar, 7, murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dilanggar sebuah bas sekolah berhampiran rumah neneknya di Taman Sri Lalang, di sini semalam.

Mohd Faaiz Muran, 35, berkata, meskipun hati masih diselubungi kesedihan, beliau dan seluruh ahli keluarga menerima pemergian anak kesayangannya itu dengan penuh reda.

“Saya tidak tahu macam mana kesakitan yang dialaminya. Bila melihat jenazahnya, saya tidak sanggup. Terlalu sukar untuk saya bayangkan apa yang telah berlaku kepadanya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Umar di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, hari ini.

Menurut Mohd Faaiz, beliau sempat melihat jenazah anaknya di bilik mayat pagi tadi dan mengakui saat itu merupakan detik paling menyayat hati buat dirinya.

bas
Kejadian berlaku Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, petang semalam. – Foto Facebook This Is Johor

“Hati saya sangat pilu apabila melihat keadaannya. Saya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada pukul 4.30 petang ketika sedang bekerja di Selangor. Sebaik menerima berita, saya terus pulang,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau turut berkongsi bahawa Muhammad Umar menunjukkan perubahan sikap sejak beberapa hari lalu apabila menjadi lebih manja daripada kebiasaan.

BACA JUGA:
Murid Tahun Satu maut dilanggar bas sekolah selepas turun depan rumah

Katanya, pada Isnin lalu, arwah meminta untuk dipeluk dan didukung, sesuatu yang jarang dilakukannya sebelum ini.

“Malah, dia juga meminta macam-macam termasuk mahu dibelikan basikal. Dia berjanji kepada saya mahu belajar bersungguh-sungguh. Bila mengenangkan semua itu, saya jadi semakin sedih.

“Syukur saya sempat menunaikan sebahagian besar permintaannya. Saya sebenarnya bercadang pulang esok dan mahu membawanya keluar bersiar-siar bersama adik kembarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faaiz berkata, beliau memilih untuk berlapang dada dan tidak menyalahkan pemandu bas yang terbabit kerana percaya segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT.

“Apabila dikenang semula, perubahan sikapnya seolah-olah memberi petanda dia akan pergi. Namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana semua ini adalah takdir Allah.

“Saya bersyukur kerana Allah pernah mengurniakan Muhammad Umar kepada kami walaupun akhirnya kami terpaksa melepaskannya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Umar selamat dikebumikan pada pukul 2.15 petang selepas selesai menjalani bedah siasat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Jenazah kemudian dibawa ke kediaman keluarganya sebelum disolatkan di Surau Taman Sri Lalang dan dikebumikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button