BERITA SEMASAPMX

PM arah pembaikan semula Pasar Dato Keramat disegerakan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membaik pulih Pasar Dato Keramat di sini ekoran keadaannya yang daif dan tidak lagi selesa kepada orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhatian dan keutamaan segera akan diberikan kepada pasar berkenaan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Saya terkesan melihat keadaan pasar ini yang amat daif. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan terus berlarutan, apatah lagi peniaga di pasar telah menanti janji pembaharuan prasarana sejak bertahun lamanya.

“Justeru, Kerajaan MADANI bertekad memberi perhatian dan keutamaan pada usaha pembangunan semula Pasar Dato Keramat demi kebajikan dan keselesaan peniaga dan pengunjung, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya malam ini.

Kenyataan itu adalah susulan lawatan beliau ke pasar berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, Jalan Damai di sini hari ini.

Anwar berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

“Masalah Pasar Dato Keramat ini sejak dari dulu (berlaku) bila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beri kepada syarikat swasta tapi gagal dan kemudian DBKL ambil balik.

“Saya dah bagitahu Datuk Johari Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya kita beri perhatian dan keutamaan segera,” katanya.

Turut hadir pada program hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button