AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

PM mahu kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global diperbaiki

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ranking Malaysia dalam Indeks Inovasi Global atau Global Inovation Index (GII) dilonjakkan kepada kedudukan yang lebih baik.

Berucap pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di ibu negara, hari ini, Anwar berkata, Malaysia mampu untuk memperbaiki kedudukan itu, lebih-lebih lagi dengan kemuduhan asas yang dimiliki.

Tambah Perdana Menteri, Malaysia yang ketika ini berada di tangga ke-36 daripada 132 negara bukanlah kedudukan yang corot, namun ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Disebut tadi tentang Global Inovation Index (GII), memang catatan kita tidak terlalu tercorot tapi tempat ke-36 itu tidak membanggakan.

“Kita mempunyai asas yang lebih awal yang lebih bersedia sepatutnya melangkah dengan pantas ada gesaan terhadap usaha atau dengan apa cara yang munasabah,” katanya.

Perdana Menteri kemudian merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 sambil diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang.

Laporan yang dikeluarkan World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland menyaksikan Malaysia kekal menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara dalam Laporan GII Tahun 2023.

Walau bagaimanapun, skor keseluruhan yang dicapai negara meningkat kepada 40.9 berbanding skor 38.7 pada tahun lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menggesa supaya saintis dan ahli pemikir untuk turun padang dalam menyampaikan pandangan mereka, sekali gus memberikan galakan kepada anak-anak muda supaya lebih tertarik dengan sains, teknologi, digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Saintis atau kalangan yang berjaya dalam majlis ini turun ke bawah menyampaikan pandangan mereka memberikan galakan kepada anak-anak muda supaya lebih tertarik dengan apa yang disebut penemuan-penemuan baharu, sains, teknologi, digital dan AI. Ini yang disebut daya cipta Madani,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button