BERITA SEMASA

Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut akan hadir bagi menyemarakkan majlis iyang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”.

Hakimah berkata, kemuncak sambutan tahun baharu kalendar Islam yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu itu ialah Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim diikuti dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

“Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dipilih berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah serta perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai pemilihan tema sambutan, beliau berkata ia manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan sangat signifikan bagi memacu umat Islam di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

“Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berkonsepkan al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia Madani,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, bacaan doa akhir dan awal tahun itu akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button