Jangan jadikan media sosial pentas menghina, menghasut – Agong
SHAH ALAM – Rakyat diingatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menghina, mencaci, menghasut atau menjatuhkan maruah orang lain kerana perbuatan itu boleh mencetuskan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, manakala perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bermusuhan.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.
“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian menerusi Titah Diraja sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasa cinta kepada negara dibina menerusi semangat perpaduan dan kehidupan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum, yang hanya dapat diperkukuh apabila adab dijadikan amalan harian.
“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara dan tidak memandang rendah antara agama dan bangsa.
“Sesungguhnya adab bukan sekadar bersopan santun tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir pengguna media sosial yang semakin mengabaikan adab sehingga bebas menghina, mencaci dan memaki hamun orang lain.
Malah, terdapat pihak yang menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar serta video palsu dengan tujuan menghina dan memalukan individu tertentu.
“Ingatlah bahawa di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.
“Terdapat juga sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menyeru rakyat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan kebencian.
“Jangan kerana mahu menjadi orang pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti, akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian.
“Saya mahu melihat kita menjadi sebuah masyarakat yang matang dalam berkomunikasi, bebas bersuara dengan penuh adab, berani memberi pandangan tetapi tidak menghina dan tegas mempertahan pendirian tanpa menanam kebencian,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








