BERITA SEMASA

Agong ingatkan rakyat, jangan salah guna media sosial dan AI untuk hina seseorang

SHAH ALAM – Rakyat diingatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghina, mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu lain.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan adab, bukannya digunakan untuk menyebarkan kebencian atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Memetik laporan Bernama, Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang bertindak kasar atau menyerang peribadi orang lain.

“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang. Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.

“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan AI untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan tujuan memalukan atau menghina seseorang.

Baginda mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai keluarga, maruah dan perasaan yang perlu dihormati, tanpa mengira sama ada mereka disukai atau tidak oleh orang lain.

“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara, dan tidak memandang rendah antara agama dengan bangsa kerana sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara.

“Namun, dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, baginda turut menasihatkan rakyat supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim berkenan menamakan kampus UiTM di Jalan Othman, Petaling Jaya sebagai Kampus Tun Arshad Ayub bagi menghargai sumbangan Allahyarham dalam penubuhan dan pembangunan institusi berkenaan sejak 1965.

Allahyarham Arshad, yang meninggal dunia pada 2022, merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) dari 1967 hingga 1975 dan memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan di institusi itu.

Istiadat tersebut turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

Seramai 32,630 graduan dijadual menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang sepanjang istiadat konvokesyen yang berlangsung hingga 16 Disember ini.

UiTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada bekas Naib Canselornya, Datuk Dr Roziah Mohd Janor, wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button