LUAR NEGARA

11 anak kapal hilang, 13 terselamat dalam kebakaran kapal kargo di perairan Bengkulu

JAKARTA – Seramai 11 anak kapal masih hilang selepas kapal kargo KM Prima Sentosa terbakar di perairan Bengkulu, pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan itu, seramai 13 daripada 24 anak kapal berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan sebelum diselamatkan sebuah kapal yang melalui kawasan berkenaan.

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) memaklumkan, kebakaran berlaku di bilik enjin ketika kapal berkenaan dalam pelayaran dari Muara Jawa, Kalimantan Timur ke Nagan Raya, Aceh.

“Seramai 13 anak kapal berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit keselamatan sebelum diselamatkan kapal Seroja 20 yang melalui kawasan itu, manakala nasib 11 lagi masih belum diketahui,” menurut Basarnas dalam kenyataan.

Agensi itu berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan daripada ejen kapal pada pukul 8 malam sebelum menggerakkan pasukan penyelamat kira-kira 15 minit kemudian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Pulau Baai dengan bantuan Tentera Laut Indonesia, polis maritim, pengendali pelabuhan Pelindo dan nelayan tempatan.

Sementara itu, operasi SAR turut diteruskan bagi mencari seorang pemandu selam wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang hilang selepas bot pelancong KM Feronia terbalik dan karam berhampiran Pulau Tatawa di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Selasa lalu.

Bot itu membawa 30 orang ketika berdepan arus deras, dengan 29 daripadanya berjaya diselamatkan, manakala mangsa, Veronica Beatrix Jessica, masih belum ditemukan.

Basarnas memaklumkan seramai 132 anggota terbabit dalam operasi SAR hari keempat semalam, meliputi kawasan pencarian seluas 45.29 batu nautika serta pencarian bawah air menggunakan penyelam dan peralatan khas.

Operasi itu turut menggunakan kenderaan kawalan jauh bawah air hingga kedalaman kira-kira 99 meter, manakala Tentera Laut Indonesia mengerahkan sonar imbasan sisi untuk meninjau beberapa lokasi.

Bagaimanapun, usaha berkenaan masih belum menemukan mangsa, meskipun pasukan SAR gabungan menemui jaket keselamatan milik KM Feronia pada pukul 11.21 pagi waktu tempatan.

Menurut Basarnas, penemuan itu akan digunakan sebagai bahan penilaian bagi menentukan langkah pencarian seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button